MELAKA: Walaupun wujud isu kekurangan bekalan telur ayam di beberapa kawasan di negeri ini, namun ia tidak mencapai tahap krisis bahan mentah itu sukar diperoleh.

Tinjauan Utusan Malaysia di tiga pasar raya besar di Klebang, Malim dan Peringgit serta beberapa kedai runcit mendapati, bekalan telur masih boleh diperolehi oleh orang ramai dan peniaga.

Kebanyakan telur di rak-rak jualan yang disediakan adalah Gred A, B, C dan D.

Seorang pengurus pasar raya yang mahu dikenali sebagai Wong berkata, dia mengakui bahawa bekalan ketika ini tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan.

Menurutnya, walaupun begitu, bekalan telur bagi Gred B dan D masih boleh dibeli oleh orang ramai dan peniaga di premis tersebut.

“Setiap hari bekalan tetap ada cuma kadang-kadang ada ketikanya tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang tinggi setiap hari.

“Kadang-kadang pada sebelah pagi bekalan sudah habis dibeli, namun kita tambah pada waktu petang namun tidak sebanyak pada waktu pagi,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Zaharin Mohd. Hashim, 60, berkata, setakat ini dia tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan telur.

“Cuma kadang-kadang tidak mencukupi, namun situasi ini tidaklah serius kerana beberapa kedai lain di sekitar masih boleh diperoleh bekalan telur,” katanya. – UTUSAN

The post Bekalan telur ayam masih boleh diperoleh di Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *