KUALA LUMPUR: Genap seminggu bersara wajib sebagai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed kini bergelar peguam.

Turut diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara hari ini ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh.

Azahar bersara pada 26 Oktober lalu manakala Mohd. Zawawi bersara wajib pada Jun lalu.

Pada 26 April 2021, Mohd. Zawawi pernah memangku jawatan sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Azahar yang dimasukkan ke unit rawatan rapi akibat Covid-19.

Kedua-dua bekas hakim ini juga pernah berada dalam panel yang memutuskan untuk menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mereka juga antara ahli panel yang menolak permohonan bekas komando polis Azilah Hadri untuk mengkaji semula sabitan dan hukuman mati ke atasnya berhubung pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Permohonan kedua-dua bekas Hakim Mahkamah Persekutuan  untuk diterima dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara di Kuala Lumpur dan Selangor turut disokong oleh Majlis Peguam Malaysia serta Badan Peguam Kuala Lumpur dan Selangor.

Jabatan Peguam Negara yang diwakili Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun juga tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Penerimaan masuk kedua-dua bekas hakim kanan itu berlangsung melalui upacara ‘long call’ di Mahkamah Tinggi yang dipengerusikan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Dalam upacara itu, anak lelaki Azahar, Azmi bertindak selaku peguam pengusul manakala Salim Bashir mewakili Mohd. Zawawi.

Dalam upacara berkenaan, Azahar dijubahkan oleh Azmi manakala Mohd. Zawawi oleh Datuk Salehuddin Saidin.

Sebelum membenarkan permohonan tersebut, Hakim Wan Ahmad Farid dalam ucapan ringkasnya mengatakan ‘kehilangan’ Azahar dan Mohd. Zawawi dalam kehakiman merupakan satu manfaat kepada profesion guaman.

“Apa yang pernah mereka berikan kepada bidang kehakiman kini boleh diperturunkan kepada Majlis Peguam.

“Jika dibandingkan dengan kereta, mereka ini adalah kereta klasik. Kita tidak boleh berlawan dengan kereta klasik. Apa yang kita boleh buat ialah melihat dan menikmati kereta-kereta antik ini,”katanya.

Berbeza dengan upacara ‘Long Call’ yang lain, Hakim Wan Ahmad Farid berkata, kebiasaannya beliau akan menitipkan pesanan kepada peguam-peguam baharu.

Bagaimanapun, dalam upacara hari ini, sukar untuk beliau berbuat demikian memandangkan individu-individu yang di hadapannya jauh lebih berpengalaman dan arif berbandingnya.

“Mereka adalah nama besar dalam badan kehakiman dan  lambang kebijaksanaan. Walaupun mereka mungkin duduk di bawah sana, saya tetap memandang tinggi kepada mereka,”katanya.

Selain itu, Hakim Wan Ahmad Farid menyatakan, adalah sesuatu yang tidak munasabah seseorang Hakim yang sebelum ini dipanggil sebagai ‘Yang Amat Arif’ digelar ‘Yang Berbahagia’ selepas bersara.

“Adalah amat tidak munasabah bagi seseorang itu dirujuk sebagai Yang Amat Arif pada hari ini tetapi kemudiannya sebagai Yang Berbahagia pada esoknya hanya kerana dia bersara. Adalah tidak munasabah  kearifan seorang yang berilmu hilang hanya kerana persaraannya.

 “Oleh itu, mahkamah ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat untuk menerokai alam yang baru, Yang Amat Arif Tan Sri Azahar dan Yang Arif Datuk Seri Zawawi,”katanya sebelum mengakhiri upacara. –UTUSAN

The post Bekas Hakim Besar Malaya kini peguam appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *