SHAH ALAM: Seorang bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Selangor didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,000 ketika sedang menjalankan prosiding satu kes judi, empat tahun lalu.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhi hukuman penjara enam bulan serta denda RM25,000 kepada tertuduh, Azmil Muntapha Abas, 48, dan sekiranya tertuduh gagal membayar denda, tambahan penjara enam bulan akan dikenakan terhadapnya.

Bagaimanapun, mahkamah memberi penangguhan hukuman sehingga pihak tertuduh memfailkan notis rayuan selewat-lewatnya 21 Oktober ini dengan ikat jamin sebanyak RM12,000.

Mengikut pertuduhan, Azmil semasa menjalankan tugas sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu telah memperoleh wang tunai sebanyak RM5,000 tanpa apa-apa balasan walaupun tertuduh mempunyai hubungan dalam suatu prosiding yang berkaitan dengan dirinya.

Prosiding tersebut adalah mengendalikan kes jenayah bagi enam orang tertuduh yang telah melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dengan menjatuhi hukuman denda terhadap mereka semua.

Perbuatan itu, iaitu menerima suapan tersebut dilakukan di sebuah cawangan bank di Setia Alam 2, di sini pada 10 Mei 2018.

Oleh demikian, Azmil dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai, Maziah Mohaide dan Mohd. Shahrom Idris manakala tertuduh diwakili peguam Asmadi Hussin dan Azrul Zulkifli Stork.

Sepanjang prosiding yang bermula September 2021 hingga Ogos lalu, seramai 24 saksi pendakwaan manakala hanya satu saksi pembelaan iaitu tertuduh yang memberikan keterangannya kepada mahkamah.

Azmil adalah majistret bagi prosiding inkues kematian mendiang Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah. – UTUSAN

The post Bekas hakim didapati bersalah terima suapan kes prosiding judi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *