PETALING JAYA : Satu siasatan disyaki dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang bekas perdana menteri dan menantunya berhubung kontrak kerajaan.

Satu portal memetik sumber berkata, siasatan tertumpu kepada kemungkinan salah guna kuasa berlaku dalam pemberian kontrak bagi projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

“SPRM sedang melihat proses pemberian kontrak itu diberikan dan kaitan syarikat berkenaan dengan mereka yang berkuasa pada masa itu,” katanya.

Lapor portal itu, terdapat maklumat yang menyatakan NIISe, sebuah projek yang sedang dibangunkan untuk menggantikan mekanisme pendaftaran pekerja asing sedia ada oleh Jabatan Imigresen menjelang 2025 adalah projek yang bermasalah.

Semakan ke laman web jabatan itu menunjukkan ‘Pasukan Projek Khas NIISe’ dipertanggungjawabkan kepada seorang pegawai tadbir dan diplomatik.

“SPRM mungkin akan memanggil anggota kanan pentadbiran terdahulu sebagai sebahagian daripada siasatannya,” jelas sumber itu.

Pada Isnin lalu, sebuah akhbar tempatan, melaporkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, NIISe akan diperkenalkan dalam masa dua tahun dengan semua urusan berkaitan imigresen, termasuk yang kini diuruskan pihak luar seperti MyEG, kembali kepada jabatan itu.

Beliau berkata, sistem baharu itu kini sedang dibangunkan oleh Iris Corporation Bhd.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi pernah berkata, menantu bekas perdana menteri itu mungkin saudara yang tidak dinamakan seperti disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau bercakap mengenai kroni dan saudara yang dianugerahkan kontrak yang lumayan.

Menantu pemimpin itu juga dinamakan dalam laporan media sebelum ini sebagai antara seorang pemain utama dalam kontrak untuk NIISe.

Beliau juga disebut secara meluas dalam Program Pengampunan 6P jabatan itu beberapa tahun lalu untuk mendaftarkan warga asing tanpa izin. – UTUSAN

The post Bekas PM, menantu disyaki disiasat SPRM berkaitan kontrak kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *