DOHA: Belanda dijangka tidak ber­depan laluan sukar dalam pu­singan kalah mati menentang Amerika Syarikat (AS) selepas melengkapkan saingan Kumpulan A membenam Qatar 2-0 dalam aksi berat sebelah, kelmarin.

Ayam tambatan Belanda, Cody Gakpo sekali lagi mencuri perhatian dengan ledakan ketiganya ke jaring seawal minit ke-26 sebelum Frenkie de Jong menambah derita tuan rumah yang telahpun tersingkir pada minit ke-49.

Qatar satu-satunya pasukan tuan rumah dalam sejarah penganjuran Piala Dunia menamatkan saingan tanpa mata.

Anak-anak buah Louis van Gaal menamatkan kempen selaku juara kumpulan dengan tujuh mata diikuti Senegal yang menduduki tempat kedua selepas mengalahkan Ecuador 2-1.

Skuad Belanda bermula penuh yakin sejak awal permainan, dengan mengetepikan ke­sedihan gagal ke Piala Dunia 2018 di Russia.

Kelmarin, van Gaal menurun­kan bintang Barcelona, Memphis Depay dalam aksi pertama selepas pulih kecederaan otot.

Beliau berkata, keputusannya menurunkan Depay tepat pada masanya apabila dia membantu mencipta dua gol Beland.

Selain Depay, van Gaal turut menyenaraikan Marten de Roon yang pulih daripada kecederaan.

Pemain bek tengah Bayern Munich, Matthijs de Ligt tidak diturunkan kerana belum pulih.

“Saya terpaksa menerima hakikat ramai pemain dilanda kecederaan dan tidak cergas untuk diturunkan, namun saya gembira mereka semakin pulih dan Belanda tidak lagi dibelenggu masalah yang sama,” kata van Gaal. – AFP

UTUSAN

The post Belanda, AS tentukan nasib ke suku akhir appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *