LONDON: Seorang lelaki sanggup menyerang dan mencederakan ibu bapanya di sebuah rumah di Cheshire gara-gara menyimpan dendam selama 40 tahun terhadap mereka yang menghantarnya ke sekolah berasrama penuh.

Lapor metro.co.uk, Ed Linse, 51, memukul bapanya, Nicholas Clayton yang berusia 85 tahun dan ibunya, Julia, 82 dalam kejadian serangan kejam pada waktu tengah malam April lalu di rumah ladang bernilai hampir 1.2 juta pound (RM6.5 juta) milik mereka di Nether Alderley.

Ketika serangan ganas itu, Linse yang sudah mempunyai dua cahaya mata berkata, dia percaya dirinya harus diberi pampasan atas penderitaannya sepanjang menghabiskan pengajian di sebuah sekolah awam lelaki pada 1980-an.

Clayton yang merupakan seorang jurutera bersara mengalami beberapa kecederaan di kepala termasuk pendarahan pada otak akibat ditendang, digigit, ditumbuk dan dicekik anak lelakinya itu.

Julia pula dilaporkan mengalami lebam dan benjolan di belakang kepalanya dalam kejadian itu.

“Clayton berulang kali dipukul di kepala dan muka ketika dia berbaring di atas katilnya. Sebatang giginya ditemui di atas lantai bersebelahan katil.

“Permaidani bilik tidur berhampiran pintu masuk turut berlumuran darah selepas Julia dipukul suspek di bahagian kepala dan belakang badan,” jelas peguam.

Mahkamah Chester Crown mendakwa Linse juga cuba memanipulasi kewangan ibu bapanya untuk mendapatkan bantuan Pejabat Dalam Negeri bagi membenarkan isterinya yang merupakan warga Thailand mendapat kebenaran menetap di United Kingdom (UK).

Linse mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah dengan niat terhadap bapanya dan melakukan serangan terhadap ibunya.

Bagaimanapun lelaki itu disahkan menghidap gangguan bipolar serta psikosis dan hakim memutuskan Linse ditahan di kemudahan psikiatri sehingga doktor mengesahkan dia selamat untuk dibebaskan.

The post Belasah ibu bapa kerana dendam 40 tahun dihantar ke sekolah asrama appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *