ARAU : Suasana di sekitar Guar Sanji khususnya di Kampung Chermai di sini meriah dihiasi kibaran bendera Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji, Rozieana Ahmad berkata, jentera parti di kawasan tersebut bekerja sekuat mungkin dengan membantu memasang bendera dan poster calon bagi membangkitkan lagi kemeriahan menjelang hari pengundian.

“Kita nak pengundi dapat melihat dengan jelas kehadiran BN dan calon yang ditampilkan di sini pada PRU15 di samping memeriahkan suasana dengan hiasan bendera sekitar kawasan DUN Guar Sanji ini,” katanya ketika turun padang meninjau persiapan jentera Bilik Gerakan BN Guar Sanji di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, memasuki beberapa hari kempen, Rozieana yang berpindah dari Pauh ke kubu kuat Pas itu kembali bersemangat dan mendapat momentum mencipta kejutan di situ.

Di Guar Sanji, Rozieana bakal berdepan saingan empat penjuru membabitkan penyandang,  Mohd Ridzuan Hashim (PN); Abdul Malik Abdullah (Pejuang) dan Hasparizal Hassan (PH).

Dalam PRU14, Mohd. Ridzuan menewaskan calon BN dan PKR di Guar Sanji dengan majoriti sekitar 328 undi.

Dalam pada itu, Rozieana berkata, keyakinan beliau juga semakin meningkat selepas melihat perkembangan kempen yang turut mendapat kerjasama penuh daripada jentera di peringkat cawangan.

“Setakat ini, hasil kita turun padang mendapati semakin ramai pengundi di kawasan DUN Guar Sanji dapat menerima kehadiran BN,” katanya.

Tambah Rozieana, beliau melihat Perikatan Nasional (PN) bakal memberi cabaran besar di kerusi DUN tersebut namun dengan bantuan jentera mereka akan berusaha sehabis baik bagi memenangkan BN.

“Cabaran sememangnya ada di mana-mana namun kita akan tunjukkan semangat untuk menang dan akan melakukan apa sahaja bagi merampas kerusi ini,” katanya. – UTUSAN

The post Bendera BN meriah di kubu kuat Pas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *