PADANG BESAR: Bendera Barisan Nasional (BN) bersaiz gergasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer dan Parlimen Padang Besar yang dikibarkan di Kampung Pokok Sena di sini ternyata mencuri tumpuan orang ramai yang melalui kawasan berkenaan.

Calon BN DUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya berkata, bendera itu dihasilkan atas inisiatif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pokok Sena dalam menyemarakkan suasana kempen jentera parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, bendera gergasi itu akan dikibarkan sepanjang tempoh kempen PRU15 dan ia mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan.

“Bendera gergasi ini yang berukuran 15×20 kaki persegi itu mencuri tumpuan orang ramai dalam menyemarakkan lagi suasana kita berkempen sepanjang PRU15,” katanya sewaktu menaikkan bendera berkenaan bersama jentera di sini hari ini.

Siti Berenee atau lebih mesra disapa sebagai Kak Ti turut hadir dengan membonceng motosikal sewaktu melancarkan gimik berkenaan bersama konvoi anak muda seramai 70 orang.

Terdahulu, calon BN Parlimen Padang Besar, Datuk Zahida Zarik Khan turut berkesempatan membuat panggilan video bersama jentera parti bagi memberikan kata-kata semangat kepada mereka.

Menerusi panggilan video itu, Zahida juga memohon maaf kepada semua pengundi dan jentera kerana tidak dapat sama turun padang berikutan masih berada dalam tempoh iddah.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai momentum BN di DUN Mata Ayer, Siti Berenee berkata, penerimaan pengundi terhadap parti itu masih baik, namun beliau tidak mahu terlalu meletakkan harapan tinggi berdasarkan kepada situasi politik semasa ketika ini.

“Bagaimanapun, penerimaan dan persepsi masyarakat terhadap BN di DUN Mata Ayer masih kukuh seperti dahulu,” katanya.

Tambah Siti Berenee, pihaknya berharap sokongan pengundi khususnya anak muda juga akan berterusan bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara pada masa hadapan.  – UTUSAN

The post Bendera gergasi BN curi tumpuan di Padang Besar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *