KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah mencadangkan kerajaan negeri membentang Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mac ini.

Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata, RUU itu perlu dibentangkan dengan segera bagi menstabilkan politik Sabah.

“Saya mencadangkan ia dibentang pada sidang DUN seterusnya yang akan bersidang pada Mac ini.

“Ia perlu dibentang seberapa segera yang boleh di Dewan seterusnya dan juga mesti dibentang sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan dalam tempoh dua tahun yang akan datang,” katanya selepas Program Malam Perpaduan UPKO di Kampung Mansiang, Penampang semalam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor agar pimpinan kerajaan Sabah yang ada sekarang dapat membentangkan Akta Anti Lompat Parti itu di peringkat DUN demi kestabilan.

Jika ia tidak dilaksana maka, gesaan tukar Ketua Menteri melalui akuan bersumpah (SD) akan sentiasa ditimbulkan sehingga mewujudkan ketidakstabilan di negeri ini.

Menurut Ahli Parlimen Penampang itu, akta berkenaan telah dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat untuk memastikan pentadbiran kerajaan di Malaysia stabil sepanjang tempoh lima tahun ini.

Politik Sabah bergolak sejak minggu lalu susulan tindakan sebahagian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan daripada Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Kumpulan yang diketuai oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin itu menarik sokongan daripada Hajiji dan mendakwa kerajaan negeri sudah terbubar dan Hajiji telah hilang kelayakan sebagai Ketua Menteri selepas keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). –UTUSAN

The post Bentang RUU Anti Lompat Parti sebelum PRN Sabah-PH appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *