KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari sedih apabila perubahan pada fizikalnya dijadikan bahan sendaan, termasuk dilemparkan dakwaan hamil gara-gara foto menampakkan perutnya buncit tular di media sosial.

Bunga pada sidang media di ibu kota, semalam menegaskan dia tidak hamil seperti didakwa, sebaliknya perubahan pada susuk tubuhnya berlaku disebabkan berat badannya bertambah.

“Sebagai wanita yang pernah melahirkan anak, perut saya tidak kempis. Kebetulan gambar itu dirakam pada sisi yang menampakkan perut saya buncit.

“Saya juga manusia normal yang suka makan pada waktu tengah malam. Jadi, tidak hairan kalau berat badan saya bertambah.

“Cuma, saya sedih apabila ada pihak yang mempersenda perubahan itu. Saya manusia biasa dan tidak sempurna. Tapi, tidak mengapa kerana bukan semua orang faham perkara itu,” katanya usai sidang media konsert Blossom Bunga Citra Lestari.

Mengulas lanjut, Bunga atau lebih mesta disapa BCL memaklumkan, dia sebenarnya gembira dengan bentuk badannya sekarang yang kelihatan lebih sihat berbanding sebelum ini.

“Tiga tahun lepas, berat badan saya merosot walaupun saya makan dalam kuantiti yang banyak.

“Sekarang, saya gembira apabila berat badan akhirnya bertambah. Saya berharap orang melihat dari perspektif itu, tetapi sebaliknya pula berlaku.

“Saya hanya mahu kelihatan sihat dan gembira. Saya terima apa yang telah diberikan dan kalau lapar, saya makan. Itu normal,” ujarnya.

Bercakap tentang konsert yang akan berlangsung pada 27 Januari 2023, penyanyi Wanita Terbahagia itu memaklumkan, konsert tersebut akan menjadi malam istimewa yang menggamit kenangan sepanjang perjalanan hidupnya.

“Saya memilih judul Blossom kerana ia menggambarkan kebangkitan selepas melalui fasa gelap dalam kehidupan, terutama ketika saya kehilangan suami tercinta, Ashraf Sinclair pada 2020, berdepan pandemik dan sebagainya.

“Antara 21 hingga 25 lagu yang akan saya nyanyikan dengan diiringi pemuzik dan penari yang diterbangkan khas dari Indonesia.

“Saya harap persembahan pada konsert itu nanti akan menyentuh hati semua yang hadir. Terima kasih atas sokongan dan kasih sayang yang ditunjukkan kepada saya, arwah Ashraf serta Noah. Tanpa sokongan anda, tidak mungkin saya berada di sini hari ini,” jelasnya.

Konsert Blossom Bunga Citra Lestari bakal berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula 8.30 malam.

Tiket dijual pada harga RM268 hingga RM1238 (pembelian awal RM1188), bermula pukul 11 pagi esok menerusi www.ticket2U.com.my.

The post Berat bertambah, bukan hamil – Bunga Citra Lestari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *