KUALA PILAH: Gara-gara mencederakan adiknya selepas berebut bilik, seorang pemuda dijatuhkan hukuman bon berkelakuan baik selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Pilah, di sini semalam.

Berdasarkan pertuduhan,  pemuda berusia 20 tahun itu dengan sengaja mencederakan adiknya berusia 15 tahun  di sebuah kampung di daerah ini, kira-kira pukul 4.30 petang 26 November lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan bersama Seksyen  326A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, masa dan lokasi yang sama, pemuda itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengeluarkan kata ugutan sehingga mendatangkan ketakutan kepada adik perempuannya itu.

Atas kesalahan berkenaan, dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. Pemuda berkenaan dalam rayuannya memohon diberikan peluang kedua dan tidak mahu ke penjara serta mahu kembali ke pangkuan keluarga.

Majistret mengarahkan pemuda itu diletakkan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM1,000.

Dia juga dikehendaki hadir perintah kehadiran wajib kerja dalam tempoh tiga bulan tidak melebihi empat jam setiap hari di bawah pengawasan Jabatan Penjara Malaysia selain melapor diri ke balai polis berhampiran setiap bulan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi. – UTUSAN

 

The post Bergaduh berebut bilik, abang dijatuhkan hukuman bon berkelakuan baik appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *