KUANTAN: Syarikat-syarikat konsesi lebuh raya digesa memberikan diskaun tol sebanyak 30 peratus kepada semua pengguna jalan raya sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina pada 22 dan 23 Januari ini.

Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) berpandangan diskaun itu perlu diberikan memandangkan kira-kira dua juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya sempena cuti perayaan tersebut.

Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, ramai pengguna lebuh raya khususnya masyarakat cina akan mengambil kesempatan ini untuk bercuti dan pulang ke kampung bermula 20 hingga 24 Januari ini.

“YPNM mendesak konsesi lebuh raya memberikan diskaun tol kepada semua pengguna pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

“Ini kerana konsesi lebuh raya harus memberi satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada pengguna lebuh raya yang selama ini menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan syarikat terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Firdaus berkata, YPNM juga meminta syarikat-syarikat konsesi sentiasa menjaga dan memelihara lebuh raya supaya sentiasa berada dalam keadaan selamat.

“Kita juga minta syarikat konsesi memberi perkhidmatan terbaik daripada segi penambahan laluan plaza tol serta khidmat bantuan kecemasan dan keselamatan.

“YPNM juga berharap konsesi lebuh raya, Lembaga Lebuh Raya Malaysia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya akan turun padang memantau keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya,” katanya. – UTUSAN

The post Beri 30 peratus diskaun tol sempena cuti Tahun Baharu Cina – YPNM appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *