SAUDARA PENGARANG,

SEBELUM ini grup WhatsApp peguam kecoh dengan cerita yang hangat diperbincangkan masyarakat berhubung dua remaja direman pihak berkuasa. Alasan diberikan, remaja terbabit menyalahgunakan media sosial.

Satu video memaparkan keluhan seorang pelajar belasan tahun. Anak muda itu melahirkan ketidakpuasan hati terhadap soalan kertas peperiksaan yang diduduki dengan menggunakan kata-kata agak kesat serta isyarat jari menghina.

Pada tahap ini, saya menjemput pembaca mengamati Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10 memberi kebebasan bersuara kepada rakyat tetapi ia bukanlah suatu kebebasan mutlak. Terdapat undang- undang yang tidak membolehkan suatu terbitan fitnah disebarkan. Terdapat juga undang-undang menyekat sesuatu ungkapan bersifat hasutan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Pada pendapat saya (melalui penilaian tanpa prejudis), video itu dan percakapan di dalamnya tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.

Video itu hanya memaparkan kenyataan, mungkin juga pernah diungkapkan oleh sebahagian besar individu yang menduduki peperiksaan sama suatu ketika dahulu. Itu sahaja. Perkataan digunakan mungkin kesat tetapi sejauh mana ia memfitnah? Ia tidak ditujukan kepada mana-mana individu.

Perkataan-perkataan itu juga jauh sekali menjejas ketenteraman awam. Adakah Singapura akan memutuskan talian diplomatik dengan Malaysia hanya kerana video ini? Seharusnya tidak.

Tidak boleh dinafikan, tindakan pihak berkuasa ini mengundang persepsi amat negatif. Masyarakat akan bertanya, apa beza keluhan anak muda ini dengan kritikan seorang bekas pemain badminton terhadap Persatuan Badminton Malaysia yang jelas menghina Islam dan orang Melayu, baru-baru ini? Adakah perintah reman juga di ambil terhadapnya? Mungkin kerana pemain badminton ini telah menerbitkan permohonan maaf yang diterima oleh pihak berkuasa maka, tiada tindakan lanjut.

Tetapi mengapa perintah reman masih dikeluarkan terhadap anak-anak muda ini sedangkan mereka telah memohon maaf?

Jika dibanding, ungkapan bekas pemain badminton itu lebih pedas dan lebih mengundang kontroversi.

Sedikit sebanyak, tindakan pihak berkuasa mereman anak-anak itu di musim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pasti akan mengakibatkan minda dan psikologi mereka terganggu. Sepatutnya mereka diberi kaunseling serta nasihat, bukan direman.

Berhati-hatilah ketika menerbitkan sesuatu di media sosial. Apa yang mungkin dianggap remeh oleh kita, mungkin akan menjemput tindakan undang-undang daripada pihak berkuasa. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak terbitan, reman jawapannya.-UTUSAN

DATUK M. REZA HASSAN
Pengamal undang-undang

The post Beri nasihat, bukan reman appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *