KUALA SELANGOR: Rakyat Selangor perlu memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negeri ini bagi menunjukkan kecemerlangan yang pernah dicapai sebelum tahun 2008. 

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, hal ini kerana tiada kejayaan boleh dibanggakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang tiga penggal pentadbiran parti itu.

Kata beliau, ia jauh berbeza jika dibandingkan kejayaan dibawa BN untuk membangunkan negeri ini.

“Sebagai contoh, kita ada Yayasan Selangor yang ketika ini tidak sehebat dulu yang dilengkapi asrama dan kemudahan lain.

“Pembangunan lain antaranya Stadium Shah Alam yang menjadi lambang kebanggaan Selangor namun tidak dijaga baik oleh pemerintahan PH,” katanya selepas menyerahkan sumbangan Deepavali di Kuil Sri Mahariaman Parit 4, Tanjong Karang di sini, hari ini.

Jelas Noh yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, bangunan dibina kerajaan Selangor turut dilihat mempunyai banyak kelemahan.

“Saya tidak tahu apa kemegahan selama PH memerintah negeri ini.

“Ia sama ada ketika (Datuk Seri) Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar atau pun Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) pada waktu ini,” ujarnya.

Tambah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu, beberapa pendekatan dilakukan BN bagi membantu rakyat meskipun tidak memerintah negeri itu. 

“Sewaktu menjadi menteri Kabinet, saya mencadangkan Kerajaan Persekutuan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memansuhkan tol Batu Tiga, Shah Alam kerana tidak lagi sesuai. 

“Namun, Najib menutup dua tol bukan saja Batu Tiga tetapi juga di Sungai Rasah,” katanya.

Noh berkata, ketika beliau dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, banyak peruntukan dibelanjakan kerajaan Persekutuan untuk membaik pulih rumah kos rendah.

“Saya sendiri turun padang ke Taman Medan, Selayang, Gombak dan Petaling untuk melihat sendiri keadaan di kawasan berkenaan.

“Hasil tinjauan amat mengejutkan kerana mendapati ketiadaan lif dan bangunan usang,” katanya. –UTUSAN

The post Beri peluang BN tadbir negeri -Noh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *