SAUDARA PENGARANG,

SEBAGAI ahli Keluarga Malaysia dan warganegara, rasanya layak saya hendak menegur sikap segelintir kakitangan kerajaan yang wujud sejak dari dahulu lagi.

Teguran ini adalah untuk kebaikan bersama, maklumlah kita kini berada pada 2022. Sampai bila hendak bersikap musang berbulu ayam? Sudah lama sikap ini wujud, sejak zaman Pak Kaduk lagi.

Pertama, ada penjawat awam yang mengetip kad perakam waktu, kemudian bukan buat kerja, tetapi lepak kedai mamak. Sampaikan orang awam yang ingin berurusan dengan mereka merungut, “Beginikah penjawat awam, hendak jumpa pun susah?”

Bersarapan pukul 8:30 pagi bukan budaya penjawat awam. Budaya ini kena buang. Kata berkhidmat untuk Keluarga Malaysia, tetapi bila orang ramai hendak berjumpa pada waktu pagi, tidak nampak batang hidung.

Kedua, dari dulu lagi budaya mengetip kad perakam waktu kepunyaan orang lain sukar dibendung, seolah-olah sudah ada kerjasama. Mujurlah sekarang banyak pejabat telah beralih menggunakan sistem canggih, imbasan cap jari semasa masuk kerja.

Namun jangan tidak tahu, masih ada lagi pejabat yang menggunakan kad perakam waktu. Ini tidak adil bagi kakitangan kerajaan lain yang datang awal ke pejabat.

Bayangkan solat subuh pun di pejabat kerana kediaman dia jauh. Sebenarnya banyak lagi yang harus diperbetulkan. Hanya setakat ini sikap tidak telus pegawai kerajaan yang harus diperbaiki saya dedahkan.

Sudah penghujung 2022 harus ubah sikap supaya adil kepada kakitangan kerajaan lain yang datang awal dan terpaksa mengambil alih tugas mereka. – UTUSAN

IBNU ARASY DZIKRULLAH, Kepala Batas, Pulau Pinang

The post Bersarapan 8.30 pagi bukan budaya penjawat awam appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *