MELAKA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Jasin lumpuh apabila sebahagian besar pucuk pimpinannya mengambil keputusan keluar parti berkuatkuasa hari ini.

Timbalan Ketua Bahagian, Mustaffar Ahmad berkata, turut meletakkan jawatan ialah Setiausaha, ahli jawatankuasa termasuk Ketua dan Naib Srikandi Bahagian.

Menurutnya, Srikandi Bahagian Jasin terbubar dengan sendiri apabila keseluruhan struktur meletakkan jawatan masing-masing dan mengumumkan keluar parti.

“Kami meragui terhadap kedudukan serta hala tuju Bersatu di negeri ini yang diterajui Ketuanya, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka.

“Kelemahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban itu mempertahankan kerusi-kerusi Bersatu yang dilepaskan kepada rakan komponen terutama di Parlimen Tangga Batu dan Jasin dianggap tidak bijak.

“Ini antara punca utama kami seluruh kepemimpinan di Jasin termasuk Srikandi mengumumkan keluar parti berkuatkuasa hari ini,” katanya dalam sidang akhbar tergempar di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Srikandi Bahagian, Azalina Abdul Rahman berkata, bukan sahaja Srikandi Jasin keluar parti malah ia akan diikuti tiga lagi bahagian iaitu Hang Tuah Jaya, Kota Melaka dan Tangga Batu.

Menurutnya, keseluruhan 320 ahli Srikandi di negeri ini telah mengambil keputusan tersebut.

Beliau berkata, turut meletakkan jawatan ialah Ketua Penerangan Srikandi Melaka yang juga Setiausaha Kerja Srikandi Pusat, Rohani Ahmad.

Bagi Bahagian Hang Tuah Jaya pula katanya, mereka yang mengikut jejak langkah sama ialah Naib Ketua Srikandi, Bendahari, Biro Srikandi Muda dan empat ahli jawatankuasanya.

“Saya turut meletakkan semua jawatan sama ada di peringkat negeri dan pusat dan keluar parti serta merta” katanya. – UTUSAN

The post Bersatu Jasin, Srikandi Melaka lumpuh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *