PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Rakyat memutuskan tiada kekosongan empat ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ekoran tindakan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.

Empat wakil rakyat terlibat adalah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) serta Matbali Musah (Sipitang).

Perkara itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang diterima Bersatu semalam.

Sebelum ini, Bersatu Sabah menghantar notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memastikan empat ahli Parlimen itu yang bertanding PRU15 di bawah logo GRS mengosongkan kerusi mereka bagi memastikan telah berlakunya kekosongan luar jangka menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 10 Disember 2022, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor membuat kenyataan menyatakan kesemua pemimpin parti Bersatu Sabah termasuk empat Parlimen telah keluar daripada parti.

Dalam pada itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin memaklumkan, pihaknya akan merujuk mahkamah berhubung keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dipercayai terkhilaf dalam membuat tafsiran Perlembagaan Bersatu apabila memutuskan bahawa tiada kekosongan berlaku menurut Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, keputusan itu dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan memberi alasan empat Ahli Dewan Rakyat tersebut tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing menurut Perkara 49A (3) kerana mereka bukan ahli Bersatu ketika bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu menyatakan seorang ahli gugur keahliannya secara serta-merta apabila menyertai mana-mana parti politik lain. Fasal ini tidak terpakai kepada empat Ahli Dewan Rakyat tersebut kerana mereka adalah ahli Bersatu dan parti ini adalah pengasas serta parti komponen GRS pada masa itu.

“Justeru, GRS tidak boleh ditafsirkan sebagai parti politik lain mengikut semangat dan intipati Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.

“Saya percaya mahkamah adalah tempat yang sesuai untuk mendapatkan keadilan dalam hal ini memandangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada Pakatan Harapan adalah pihak yang berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, surat daripada Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah bertarikh 3 November 2022 jelas menyenaraikan empat Ahli Dewan Rakyat tersebut adalah calon GRS daripada Bersatu sekali gus bermakna penyertaan mereka sebagai ahli langsung GRS tidak menjejaskan keahlian mereka dalam Bersatu ketika mereka bertanding dalam PRU15.

“Jika pun terdapat perselisihan dalam mentafsir Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu, Fasal 27 Perlembagaan Bersatu memperuntukkan kuasa untuk memberikan tafsiran yang muktamad terletak pada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). 

“Maka dalam hal ini hanya MPT Bersatu boleh menentukan sama ada empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah gugur keahlian mereka serta-merta apabila mereka menyertai GRS,” tambah beliau.

Muhyiddin menambah, fakta juga jelas menunjukkan bahawa Hajiji yang merupakan bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah hanya mengisytiharkan keluar parti pada 10 Disember 2022 termasuk empat wakil rakyat berkenaan.

“Tindakan menyeberang lantai (crossing the floor) empat Ahli Dewan Rakyat berkenaan juga berlaku pada 19 Disember 2022 yang mana kedua-dua perbuatan ini mengakibatkan keguguran keahlian mereka dalam Bersatu di bawah Perkara 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu selepas PRU15.

“Yang Dipertua  Dewan Rakyat membuat keputusannya berdasarkan tafsiran beliau mengenai Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu. Oleh kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir Perlembagaan parti, keputusannya bahawa empat Ahli Dewan Rakyat berkenaan tidak perlu mengosongkan kerusi mereka adalah terkhilaf,” katanya. – UTUSAN

The post Bersatu rujuk mahkamah keputusan tiada kekosongan 4 Ahli Parlimen GRS appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *