KANGAR: Hari kelima kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan pertembungan dua calon dari dua parti bertanding bagi kerusi Parlimen Kangar ketika
berkempen di pasar malam Bintong, di sini petang ini.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Nur Sulaiman Zolkapli yang bertemu antara satu sama lain sempat bersalaman, berpeluk dan saling menukar risalah calon masing-masing.

Suasana kempen yang berlangsung secara cukup harmoni merentasi fahaman politik itu turut menarik perhatian para pengunjung di pasar malam berkenaan.

Kehadiran mereka di tempat yang sama itu adalah bagi beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung di kawasan terbabit.

Fathul Bari berkata, kempen berlangsung dalam suasana harmoni dengan calon-calon dari parti lain di kawasan Kangar.

“Sepanjang tempoh lima hari kempen berlangsung dalam keadaan cukup tenang tanpa sebarang provokasi calon-calon bertanding. Apabila bertemu sesama calon semasa kempen kami bertegur sapa dan berbual-bual,” katanya.

Sementara itu, Nur Sulaiman berkata, kempen berjalan lancar bagi bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan ini.

Kerusi Parlimen Kangar menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon BN Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pejuang.

Penyandang kerusi itu, Noor Amin Ahmad (PH) bakal dicabar empat calon lain iaitu Fathul Bari, Zakri Hassan (PN), Rohimi Shapiee (Warisan) dan Nur Sulaiman. – UTUSAN

The post Bertembung di pasar malam, Fathul Bari dan calon Pejuang berpeluk, tukar risalah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *