PETALING JAYA: Biarlah Liga Super 2023 hanya mempertan­dingkan 16 pasukan berbanding 18, asalkan semua kelab terlibat berkualiti dan bebas daripada ‘penyakit lama’.

Pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim berkata, keputusan badan bebas, First Instance Body (FIB) tidak meluluskan permohonan pasukan bermasalah mendapatkan lesen kebangsaan amat tepat.

Kelmarin, FIB menolak permohonan Melaka United dan Sarawak United kerana gagal memenuhi kriteria ditetapkan, sekali gus tidak layak bertan­ding dalam Liga Super 2023.

Isu gaji dan kewangan yang membelenggu kedua-dua pasukan antara faktor mereka tidak diberikan lesen kebangsaan.

Sejurus tindakan diambil, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan, liga akan diteruskan walaupun hanya dengan 16 pasukan.

Melaka dan Sarawak mungkin turun ke saingan amatur, Liga M3 jika gagal dalam rayuan sehingga Rabu depan.

SARAWAK United dan Melaka United diberi tempoh sehingga Rabu depan untuk mengemukakan rayuan bagi mendapatkan lesen yang membolehkan mereka beraksi dalam Liga Super musim depan.

“Tindakan ini memang wajar dan itu menunjukkan ketegasan FIB dan MFL sebab kalau kita biarkan, isu gaji dan sebagainya tidak akan habis bahkan akan menganiaya pemain.

“Sudah tiba masanya dalam era profesionalisme, tindakan tegas seperti ini perlu ada dalam liga sebab kita perlu tunjukkan dekat pasukan agar mereka lebih berdisiplin dan berupaya untuk bertanding.

“Saya sendiri lebih suka untuk katakan kita perlu mengambil berat kualiti daripada kuantiti di mana hanya mereka yang betul-betul layak sahaja beraksi dan jika MFL tidak tegas, saya rasa tiada pasukan yang akan menghormati peraturan selepas ini,” kata Zulakbal.

Dalam pada itu, Mohd. Sadek Mustafa yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam pula mengharapkan keputusan ini akan membuka mata banyak pihak untuk tidak lagi mengambil mudah aspek kewangan pasukan selepas ini.

“Apa yang berlaku memperlihatkan pengurusan dan modal pasukan dalam melaburkan sumber kewangan merupakan satu risiko di mana ia bukan mudah untuk menguruskan kelab.

“Dan ini yang perlu dilihat oleh pasukan-pasukan untuk mereka lebih berhati-hati dan lebih mengambil berat bagi mencari dana kewangan yang mencukupi,” jelasnya.

The post Biar sedikit asal tidak ‘berpenyakit’ appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *