KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi muncul kali pertama di Mahkamah Tinggi di sini selepas bergelar Timbalan Perdana Menteri bagi menghadapi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Kali terakhir Presiden UMNO hadir prosiding perbicaraan di ibu negara ialah pada 22 November 2022 pada peringkat pembelaan sebelum kes ditangguhkan hingga hari ini.

Ahmad Zahid, 70, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk tiba di pekarangan mahkamah diiringi kenderaan pengiring polis kira-kira pukul 8.45 pagi.

Ketika kes disebut di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, mahkamah menetapkan perbicaraan didengar selama 27 hari dalam tempoh lima bulan berturut-turut bermula April hingga Ogos ini.

Tarikh-tarikh itu ialah pada 10 hingga 13 April, 15 hingga 18 Mei, 12 hingga 15 Jun, 24 hingga 27 Julai manakala tarikh-tarikh bulan Ogos ialah pada 1 hingga 3, 7 hingga 10 dan 21 hingga 24.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran selaku ketua pasukan pendakwaan memaklumkan hari ini untuk sebutan kes sambil menarik perhatian mahkamah dengan merujuk Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Tertuduh atau lebih tepat saya katakan sebagai Timbalan Perdana Menteri, berada dalam kandang tertuduh hari ini bagi sebutan kes untuk menetapkan tarikh perbicaraan tambahan bagi membela diri,” ujarnya.

Beliau kemudian memberitahu tarikh-tarikh bicara tambahan yang telah dipersetujui iaitu pada bulan Jun, Julai dan Ogos ini.

Antara peguam-peguam yang hadir pada prosiding itu termasuk Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Ketika prosiding pada 22 November tahun lalu, mahkamah sepatutnya mendengar prosiding soal balas saksi pembelaan keenam, Datuk Mohd. Kamal Abdullah, 65, yang juga Pegawai khas Ahmad Zahid.

Bagaimanapun keterangan saksi berkenaan ditangguhkan dan mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan didengar pada hari ini hingga 19 Januari, 30 hingga 31 Januari serta tarikh-tarikh pada Februari, Mac, April dan Mei.

Berikutan penjualan semula tarikh-tarikh perbicaraan, prosiding yang telah ditetapkan pada Januari, Februari dan Mac dilapangkan oleh mahkamah.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

The post Bicara Ahmad Zahid dijadual semula pada April ini appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *