NEW YORK: Kajian perubatan terkini mendapati bilangan sperma manusia menurun lebih 50 peratus di seluruh dunia dalam tempoh 50 tahun lalu.

Lapor portal berita CNN, jika penurunan berterusan, keadaan ini dijangka memberi implikasi besar terhadap pembiakan manusia abad ini.

Penyelidik berkata, kajian tersebut juga menjadi petanda tentang tahap kesihatan yang semakin menurun dalam kalangan lelaki secara umumnya kerana kualiti air mani merupakan antara penanda aras penting keadaan keseluruhan kesihatan bagi kaum adam.

“Saya fikir salah satu fungsi asas mana-mana spesies ialah pembiakan. Jadi saya fikir jika terdapat isyarat bahawa pembiakan sedang merosot, saya fikir itu adalah penemuan yang sangat penting.

“Terdapat kaitan yang kuat antara kesihatan reproduktif lelaki dan kesihatan keseluruhannya. Jadi ia menunjukkan bahawa mungkin kami tidak sihat seperti dahulu,” kata Pakar Urologi Perubatan Stamford, Dr. Michael Eisenberg.

Pasukan penyelidik antarabangsa meneliti hampir 3,000 kajian yang merekodkan kiraan sperma lelaki  antara 2014 dan 2020 menerusi kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal Human Reproduction Update.

Kiraan sperma biasa dianggap melebihi 40 juta setiap mililiter tetapi pada peringkat populasi, purata kiraan sperma menurun daripada 104 juta kepada 49 juta setiap mililiter daripada 1973 hingga 2019.

Bagaimanapun terdapat juga pakar yang kurang yakin dengan data berkenaan kerana kaedah mengira sperma telah banyak berubah sehingga mustahil untuk membandingkannya.

The post Bilangan sperma lelaki di seluruh dunia kian menurun appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *