SEDEKAD lalu, Bima Samudra, 33, pernah meniti popular dalam kalangan peminat nasyid di negara ini disebabkan kelunakan suara yang dimiliki.

Masakan tidak, wajah tampan Bima yang berasal dari Bandung, Indonesia ini pernah meraih perhatian ramai bersama kumpulan Edcoustic menerusi lagu Muhasabah Cinta.

Lirik keinsafan lagu tersebut sangat menyentuh jiwa pendengar, diiringi klip video yang menjalani penggambaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sehingga kini, video muzik yang diterbitkan Inteam Digital sudah mencecah jutaan tontonan dan menuai pelbagai reaksi positif penonton.

Selepas 10 tahun berlalu, Bima atau nama penuhnya, Arya Dewa Bima Samudra gagal menyerlah dalam nyanyian sehingga terpaksa beralih cabang seni lain, termasuk mengasah bakat dalam bidang lakonan.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi. Kalau nyanyian gagal, saya akan cuba bidang lain seperti berlakon. Alhamdulillah, saya berlakon sejak 2018 dan tawaran tidak pernah putus sehingga sekarang.

“Bagi saya, lakonan adalah pasport untuk menempatkan diri dalam industri. Kalau gagal, cuba lagi dan jangan mudah menyerah kerana percaya, saya pasti dapat apa yang diinginkan,” katanya.

Ternyata, usahanya berhasil apabila mendapat tawaran sebagai pelakon pembantu dalam beberapa sinetron, bergandingan dengan pelakon popular lain.

“Saya pernah mendapat tawaran berlakon dalam Ikatan Cinta yang ditayangkan di stesen televisyen RCTI. Terbaru, sinetron Love Story The Series di SCTV, bergandingan dengan pelakon terkenal seperti Anjasmara, Cut Syifa, Giorgino Abraham dan Yasmin Napper.

“Di saluran ANTV, saya terlibat dalam sinetron Menolak Talak bersama pelakon terkenal seperti Vino G Bastian, Marsha Timothy dan Andi Annisa,” katanya kepada Pancaindera.

Selain berlakon, graduan Analisis Kimia ini juga aktif menghasilkan kandungan video di TikTok sehingga mendapat respons baik rakyat di negara ini.

Video pendek Bima bersama pelawak Indonesia, Brenda sentiasa mencuit hati dengan lakonan spontan mereka.

TAYANG BADAN SASA

Menjengah ke ruangan Instagram rasmi Bima yang mempunyai pengikut seramai 266,000 orang, bekas pramugara ini kerap memuat naik foto tanpa berbaju.

Bagi Bima, apa yang ditampilkan dalam media sosial adalah gambaran sebenar dirinya dan perkara itu, tidak pernah menjadi isu besar.

Akui Bima, dia langsung tidak pernah terfikir untuk ‘menjual’ tubuh sasanya itu semata-mata untuk mendapat tawaran kerja.

“Di Indonesia, ia perkara biasa apabila artis dan model memuat naik foto seperti itu di Instagram. Ia bukan hal yang aneh.

“Saya tidak pasti di Malaysia bagaimana penerimaannya. Saya tidak pernah ada niat tayang badan semata-mata untuk mencipta nama,” katanya.

Mengulas lanjut, Bima berkata, gambar yang dimuat naik juga menjadi perangsang dan motivasi kepada orang lain supaya mengamalkan gaya hidup sihat.

“Sekiranya mahu bentuk tubuh badan yang tegap dan sasa, perlu rajin bersenam di gimnasium. Saya hanya memuat naik kandungan berkaitan diri dan tidak suka
berpura-pura dalam hidup.

“Asalkan, kandungan yang dimuat naik itu menjaga batasan dan tidak melanggar tatasusila,” ujarnya.

Ditebak sama ada pelakon baharu perlu bergantung kepada gosip untuk meledak popular, Bima berkata, dia tidak pernah bersetuju dengan cara tersebut.

Tidak dinafikan ramai pelakon yang mendaki tangga populariti disebabkan gosip panas, bagi Bima, ia hanya bersifat sementara.

“Berbeza dengan usaha yang dilakukan satu persatu kerana mampu membuatkan kita kekal dalam industri. Kalau ada gosip tiba-tiba tular, lebih baik diam dan tidak perlu layan,” katanya.

 

The post Bima Samudra ‘jual tubuh’ untuk dapat tawaran kerja? appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *