SAUDARA PENGARANG,

PENGANALISIS ekonomi rata-rata menjangkakan tahun ini penuh getir dari segi ekonomi berikutan krisis geopolitik di Russia-Ukraine, China-Taiwan, Asia Barat dan kemunculan varian baharu Covid-19 yang pantas merebak di China.

Sekiranya berlaku kemelesetan ekonomi dunia terutama kepada negara-negara kuasa besar di Eropah, China, Amerika Syarikat dan Russia seperti yang didakwa, ia bakal memberi kesan secara langsung kepada Malaysia.

Permintaan merudum dari negara terbabit bakal mengakibatkan hasil eksport Malaysia seperti minyak sawit, kayu-kayan, barangan elektronik dan gas asli berkurangan.

Justeru, amat diharapkan agar kerajaan mengambil kesempatan di atas hubungan baik Malaysia dengan negara-negara luar lain yang terjalin erat sejak sekian lama dengan melipatgandakan usaha menjemput lebih ramai pelabur untuk melabur di negara ini.

Data menunjukkan setakat 2022, pelaburan asing mencatatkan nilai sebanyak RM87.4 bilion dengan 1,714 projek diluluskan. Angka itu masih tidak mencukupi dan perlu terus dipertingkatkan bagi menangani prestasi ekonomi kurang memberangsangkan di negara ini.

Persekitaran ekonomi yang positif akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu untuk penganggur yang dibuang kerja ekoran perniagaan ditutup akibat Covid-19. Selain itu, isu tenaga kerja asing untuk sektor perladangan dan pembinaan perlu diselesaikan segera setelah agak lama pihak berkuasa buntu untuk mencari jalan penyelesaian.

Apa pun, langkah awal kerajaan mengurangkan beban rakyat seperti pengekalan tarif elektrik, Bantuan Tunai Rakyat (BTR) dan pelbagai inisiatif untuk rakyat dalam Bajet Mini 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedikit sebanyak membantu meringankan beban rakyat.

Pun begitu, isu harga barangan asas, yang mana rakyat terpaksa membeli walaupun harga telah melambung tinggi seperti ayam dan telur perlu diatasi segera memandangkan keluhan rakyat berkait isu ini masih berlarutan.

Adalah diharapkan agar Bajet 2023 yang bakal dibentangkan semula 24 Februari nanti akan menekankan dasar menangani kos sara hidup dan mewujudkan polisi mesra pelabur.

Perlu juga ada pelan jangka panjang, sederhana dan pendek dalam menangani krisis ekonomi ini bagi mengelak Krisis Kewangan Asia pada 1997/1998 berulang.

Mekanisme subsidi bersasar, sistem cukai lebih adil dan bantuan tunai langsung yang lebih menyeluruh perlu distruktur dengan lebih kemas agar tiada pihak tercicir.

Kerjasama penggiat ekonomi tempatan juga wajar diperhebat agar kebergantungan negara kepada pembekal luar dapat dikurangkan. Secara tidak langsung, harga barangan kekal rendah dan mampu dibeli rakyat.

Dalam pada itu, harus diingat bahawa pelbagai cabaran lain menanti untuk dihadapi sepanjang tahun ini. Antaranya, pakar kaji cuaca meramalkan Malaysia akan mengalami keadaan cuaca panas dan kering sekitar Jun hingga Oktober ini yang boleh mengakibatkan kebakaran dan jerebu seperti yang pernah terjadi pada 1997 dan 1998.

Dalam pada itu, jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk mengekang inflasi turut memberi kesan kepada pendapatan rakyat.

Walau apa sekalipun, harapan rakyat agar semua pihak perlu menoleh ke belakang melihat kesilapan yang telah berlaku dan mencari jalan untuk membuat perancangan lebih baik dan pada masa sama tetap mempertahankan nilai-nilai murni. – UTUSAN

MOHD. SALLEH OSMAN
Presint 16, Putrajaya

The post Bimbang ekonomi gawat, cuaca berjerebu seperti 1997 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *