PUCHONG: Hasrat untuk membina lebih banyak rumah mampu milik bagi golongan muda dan berpendapatan rendah di Parlimen Puchong menjadi antara keutamaan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader. 

Beliau yang juga Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) itu berkata, ia merupakan permintaan yang sering disuarakan ketika sesi turun padang untuk bertemu pengundi. 

Selain itu, beliau juga mahu membawa peluang pekerjaan yang lebih luas kepada anak-anak muda sekiranya diberi mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

“Masalah utama penduduk di Parlimen ini selain banjir adalah kekurangan rumah mampu milik dan peluang pekerjaan, sebab itu kita tengok ramai anak muda yang bekerja sehingga ke Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. 

“Ketika sesi bertemu pengundi, anak-anak muda juga ada minta mereka mahu trek litar lumba motor cross dan juga trek jogging di kawasan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas sesi walkabout di pasar malam Taman Pinggiran Putra di sini hari ini. 

Terdahulu, Syed Ibrahim sempat meluangkan masa kira-kira 30 minit menyapa para peniaga serta orang awam dan memperkenalkan diri sebagai calon. 

Syed Ibrahim berkata, sekiranya diberi peluang pada PRU15, beliau berhasrat untuk berpindah dan terus menetap di kawasan berkenaan bagi memudahkan penduduk untuk bertemu dengannya. 

“Sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada PRU15 saya mengambil keputusan untuk terus menetap di sini dan membuka sebuat pusat khidmat masyarakat bagi menyalurkan pelbagai jenis bantuan yang diperlukan. 

“Ini kerana saya adalah ahli politik sepenuh masa, saya bukan seperti calon lain yang ada profesion seperti peguam yang sentiasa sibuk,” ujarnya. 

Syed Ibrahim yang pernah menjadi Ahli Dewan Negara selama dua penggal itu bakal berdepan saingan empat penjuru menentang Yeo Bee Yin (Pakatan Harapan), Kuan Chee Heng (Bebas) dan Chew Jyh Gang (Perikatan Nasional). 

Pada PRU14, kerusi Parlimen Puchong dimenangi Gobind Singh Deo dari DAP dengan majoriti 47,635 undi menewaskan Ang Chin Tat (BN-MCA) yang mendapat 12,794 undi dan Mohamad Rosharizan (PAS) dengan 10,255 undi. – UTUSAN

 

The post Bina lebih banyak rumah mampu miliik orang muda  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *