MUBARAK Majid antara nama yang disegani kerana bakat dan pengalamannya tidak boleh dicari ganti. Lebih empat dekad anak jati Kuala Kubu Bharu, Selangor ini menghambakan diri di atas pentas lakonan.
Kesempatan bertemu pelakon berusia 64 tahun ini ketika sidang akhbar anjuran Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia, baru-baru ini dimanfaatkan penulis untuk mengenali lebih dekat aktor hebat ini.
Pertanyaan pertama dilayangkan adalah bagaimana beliau memulakan langkah sebagai pelakon dan pengalaman awalnya dalam bidang tersebut. Kata Mubarak, minat terhadap lakonan dipupuk sejak kecil.
“Dahulu, saya tinggal di Sungai Tawar, Sabak Bernam. Rumah saya terletak berhampiran panggung wayang.
“Saya sering menonton wayang kerana bapa kepada kawan saya bekerja di panggung tersebut. Jadi, saya boleh tonton filem secara percuma.
“Dari situ, timbul minat kerana saya seronok tengok orang berlakon,” katanya yang banyak menonton lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee seperti Ibu Mertuaku.
Cerita Mubarak, ketika di sekolah rendah, beliau banyak bercampur dengan mereka yang berminat dalam bidang lakonan.
“Saya dan rakan-rakan selalu berlakon. Kami sanggup bina sendiri pentas untuk kami berlakon.
“Ketika itu, saya mula sedar memang sangat berminat dengan lakonan,” kongsinya.
Mubarak berkata, selepas tamat persekolahan, beliau berhijrah ke ibu kota untuk bekerja.
“Saya berpindah ke Kuala Lumpur pada 1975. Kerja pertama saya bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bahagian bekalan props.
“Ketika itu, saya sudah berjinak-jinak sebagai pelakon ekstra. Rakan seangkatan saya antaranya Allahyarham Abu Bakar Omar dan Harun Salim Bachik.
“Setiap kali produksi kekurangan pelakon, kami akan mengisi kekosongan itu sebagai pelakon tambahan,” ceritanya yang turut aktif menghadiri uji bakat dan menyertai pementasan teater.

Berguru dengan aktivis teater

Kata Mubarak, pentas teater adalah sekolah lakonan yang membentuknya seperti hari ini.Aktivis teater, Allahyarham Hasan Jali ialah guru yang banyak mencurahkan ilmu lakonan kepadanya.
“Arwah mengajar saya segala aspek lakonan seperti lontaran suara, intonasi, ekspresi, bahasa tubuh dan banyak lagi. Orangnya berilmu dan menepati masa.
“Arwah sangat berdisiplin dan tegas. Cara arwah mengajar juga tersusun dan ada silibus tertentu,” katanya.
Kata Mubarak, disebabkan rajin menjadi pelakon sambilan, dia tidak pernah kesempitan wang. Hidupnya juga selesa.
“Ketika itu, sekitar 1980-an dan saya belum berumah tangga. Saya tinggal bujang bersama kawan-kawan.
“Saya tidak hidup susah kerana mempunyai kerja tetap. Pendapatan sebagai pelakon ekstra pula banyak membantu perbelanjaan harian,” jelasnya.

 

Nyaris dipatuk ular

Sepanjang perbualan, Mubarak sempat menceritakan pengalaman cemas ketika menjayakan drama Deru Ombak yang penggambarannya dilakukan diTerengganu sekitar tahun 1980-an.
Kata Mubarak, dia nyaris dipatuk ular laut ketika menjayakan sebuah babak pada waktu malam.
“Babak tersebut dirakamkan di kawasan laut dalam di sekitar perairan Terengganu. Saya diperlukan untuk terjun ke laut.
“Namun, saya tidak sangka kawasan tersebut didatangi ular yang tertarik dengan lampu yang dipancarkan daripada bot dinaiki kami.
“Itu antara pengalaman cemas yang paling saya ingat sepanjang menjadi pelakon. Alhamdulillah, tiada kejadian buruk berlaku dan saya bersyukur masih dipinjamkan nyawa sehingga ke hari ini,” katanya.

Tak guna khidmat pembantu

Bagi Mubarak, setiap pelakon perlu bersedia dalam apa juga keadaan. Katanya, antara amalan yang konsisten dilakukan sehingga hari ini adalah menyediakan sendiri pakaian sebelum ke set penggambaran.
“Pihak produksi ada sediakan wardrobe. Tetapi, kebanyakan masa saya akan sediakan sendiri pakaian mengikut kesesuaian watak.
“Saya tidak guna khidmat pembantu. Saya akan bawa sendiri kereta ke lokasi penggambaran tanpa ditemani pengurus atau pembantu peribadi,” ujarnya.
Berkongsi nasihat, Mubarak berkata, persiapan adalah perkara penting perlu dilakukan sebelum melangkah ke lokasi penggambaran.
“Dalam apa perkara sekalipun, skrip perlu dihafal dan difahami, selain memikirkan bagaimana untuk menghidupkan sesuatu watak. Pelakon yang bagus akan menguasai perkara tersebut.
“Pelakon juga perlu tepati waktu dan bersungguh-sungguh ketika bekerja. Jangan malas atau datang lambat,” katanya. – PANCAINDERA

 

 

The post Bina sendiri pentas untuk berlakon appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *