MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali memberi jaminan masalah yang dihadapi kira-kira 2,000 penduduk di Ozana Residence, Bukit Katil dekat sini berkaitan isu bau busuk dan pencemaran bunyi dapat diatasi selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, satu kelulusan pembinaan sebuah tembok konkrit setinggi 20 kaki dan sepanjang 500 meter akan disegerakan bagi mengatasi masalah dihadapi penduduk.

Katanya, penduduk memaklumkan beberapa siri perbincangan antara kilang terlibat, pemaju, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan penduduk pernah diadakan sebelum ini, namun terhenti disebabkan beberapa masalah mendapatkan kelulusan.

“Saya menerima aduan daripada penduduk dan datang berjumpa dengan mereka hari ini bagi mengetahui masalah yang dihadapi serta membuat tinjauan di kawasan terbabit.

“Saya merancang selepas PRU15 untuk bertemu dengan semua pihak yang terlibat bagi menyegerakan pembinaan tembok konkrit yang dicadangkan, memandangkan dana akan diberikan oleh tiga kilang terbabit.

“Saya difahamkan proses ini tersangkut di peringkat kelulusan, peringkat teknikal dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Saya akan perhalusi hal ini dan pihak berkaitan untuk kita tengok bagaimana proses ini boleh dipercepatkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di lokasi berkenaan.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 2,000 penduduk di Ozana Residence terpaksa menanggung bau busuk akibat pelepasan asap oleh industri terus ke udara dan turut berdepan pencemaran bunyi, sejak lebih setahun lalu.

Bau busuk dilepaskan melalui cerobong asap dipercayai gas amonia serta bunyi bising didengari penduduk sepanjang hari, kerana kediaman mereka berdekatan dengan tiga buah kilang pembuatan yang beroperasi 24 jam.

Seorang penduduk, Mohamad Mustafa Raja Mohamad, 45, berkata, bau busuk itu semakin parah khususnya pada waktu hujan. – UTUSAN

The post Bina tembok konkrit, selesai masalah penduduk Ozana Residence appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *