KUALA SELANGOR: Tindakan pihak tertentu memusnahkan pokok bakau bagi membina struktur kekal dan sementara antara faktor Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menyita Pantai Sungai Kajang, Tanjong Karang, di sini.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd. Raiz Radzuan berkata, sitaan itu perlu dilakukan berikutan wujud pencerobohan hutan paya bakau di sekitar kawasan tersebut.

“Biarpun ada pihak mahu membangunkan kawasan itu bagi pelancongan, sebarang pembinaan perlu dirujuk dan mendapat kebenaran daripada JPNS.

“Kawasan pantai itu merupakan rizab hutan dan lebih penting untuk memulihara dan menjaga bakau daripada musnah,” katanya ketika ditemui pada Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Ijok Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) di sini, hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan pengunjung pantai itu perlu memohon permit bagi mendapatkan kebenaran menjalankan aktiviti rekreasi atau beriadah.

Permohonan itu diwajibkan selepas kawasan berkenaan didakwa sebahagian hutan simpan paya bakau yang dilindungi bagi pemeliharaan dan pemuliharaannya.

Terdahulu, tindakan JPNS menyita Pantai Sungai Kajang pada 10 Januari lalu mengelirukan penduduk setempat selepas kawasan itu didakwa sudah dibersihkan selepas menjadi tempat pembuangan sampah haram.

Jelas Mohd. Raiz, semua pihak diminta akur dengan arahan itu dan tidak menceroboh kawasan berkenaan tanpa kebenaran.

“Sitaan dan larangan itu dilakukan kerana pantai berkenaan tanah rizab hutan dan mahu mengekalkan hutan paya bakau. Kuala Selangor ini berdekatan laut dan pemuliharaan hutan paya bakau penting bagi mengelak hakisan tanah dan melindungi hidupan marin,” jelasnya.

Tambah beliau, meskipun Pantai Sungai Kajang antara lokasi tumpuan, pemuliharaan bakau perlu diberi perhatian bagi jangka masa panjang.

“Pantai di Kuala Selangor kurang berpasir namun lebih kepada tanah berlumpur dan kesesuaian Pantai Sungai Kajang agak terhad. Buat sementara waktu, pantai itu ditutup kepada orang ramai sehingga dimaklumkan JPNS kelak,” ujarnya. – UTUSAN

The post Binaan musnah pokok bakau Pantai Sungai Kajang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *