PADA 1958 di Sweden, legenda Brazil, Pele mencuri tumpuan apabila membuat penampilan pertama Piala Dunia seawal usia 17 tahun.

Dia tidak diturunkan dalam dua aksi pertama, namun mencipta impak sebaik sahaja bermain pada perlawanan ketiga Brazil dengan melakukan um­panan sebelum menjaringkan gol pertamanya di suku akhir.

Pada separuh akhir, Pele menyerlahkan kehebatan dengan meledak hatrik ketika membantu negaranya menumpaskan pasukan kedua terbaik dunia ketika itu, Perancis 5-2.

Dia kemudian melengkapkan kisah penuh inspirasi apabila menyumbat dua gol di pentas akhir yang menyaksikan skuad Selecao membenam Sweden 5-2 untuk dinobat sebagai juara.

Kini, kejohanan bola sepak paling berprestij itu kembali di Qatar dengan bintang-bintang muda menjadikan kisah Pele sebagai inspirasi untuk menyaingi legenda seperti Cristiano Ro­naldo atau Lionel Messi.

JUDE BELLINGHAM
(England)

JUDE Bellingham antara ba­kat muda paling menarik dalam skuad England.
Digelar Wonderkid Three ­Lions, pemain tengah berusia 19 tahun itu berada pada prestasi terbaik bersama kelab Jerman, Borussia Dortmund.
Dilahirkan di Stourbridge, England pada 29 Jun 2003, Bel­lingham yang menjadi rebutan Barcelona dan Liverpool telah meledak empat gol dan satu umpanan dalam Liga Juara-Juara musim ini.
Di peringkat kebangsaan, dia yang membuat kemunculan sulung pada 2020 telah mengumpul 17 penampilan, termasuk tiga di pentas Euro 2020.

JAMAL MUSIALA
(Jerman)

BERUSIA 19 tahun, Jamal Mu­siala sempat bermain untuk England di peringkat umur sebelum memilih Jerman.
Musiala yang bermain di posisi tengah dan sayap membuat penampilan pertama bersama skuad senior Bayern Munich pada 20 Jun 2020 ketika menentang SC Freiburg, menjadikannya pemain termuda beraksi dalam Bundesliga di usia 17 tahun, 115 hari.
Dia juga berada dalam skuad Bayern ketika menjuarai Liga Juara-Juara 2019-2020, sebelum meledak gol Bundesliga pertama pada September 2020.
Penampilan Musiala paling dikenang ketika dia merobek gawang Barcelona untuk Bayern membenam gergasi Sepanyol itu 3-0 pada Liga Juara-Juara, 23 April lalu.

RAFAEL LEAO
(Portugal)

SELEPAS cemerlang dalam skuad remaja Sporting CP, Leao membuat penampilan sulung Liga Primeira pada usia 18 tahun tetapi berpindah ke Ligue 1 untuk menyertai Lille pada 2018.
Penyerang itu meledak lapan gol dalam 24 penampilan pada musim sulung, sekali gus memikat AC Milan yang menawarkan kontrak lima tahun bernilai 35 juta pound (RM189 juta) pada musim berikutnya.
Seorang pemain yang memiliki kelebihan ketinggian dan sangat dinamik, peminat bola sepak sering membandingkan Leao dengan Kylian Mbappe, Thierry Henry dan rakan ­senegaranya, Cristiano Ronaldo.
Menjaringkan enam gol da­lam setiap dua musim pertamanya, Leao meledak 11 gol pada musim ketiga untuk ­memenangi Kasut Emas.

GAVI
(Sepanyol)

PEMENANG anugerah Pemain Muda Terbaik Ballon d’Or 2022 itu menjadi nadi Barcelona di bahagian tengah hanya pada usia 18 tahun.
Dalam usia mentah itu juga dia telah beraksi dalam 15 perlawanan (semua pertandi­ngan) buat Barcelona musim ini. Mem­buat penampilan sulung bersama Sepanyol ketika berusia 17 tahun, dan sudah memiliki 17 kap dengan satu gol.
Digelar ‘Xavi baharu’, Gavi mendapat panggilan skuad se­nior Sepanyol pada Jun lalu ketika menentang Republik Czech dalam Liga Negara-Negara.
Di tengah-tengah skuad Sepanyol yang penuh bakat muda, dia mampu mengatasi mereka sebagai bintang muda terbaik 2022.

GIOVANNI REYNA
(Amerika Syarikat)

BIARPUN baru berusia 19 tahun, Giovanni Reyna berjaya menempatkan diri dalam salah sebuah gergasi bola sepak Eropah, Borussia Dortmund.
Beraksi di posisi sayap dan tengah menyerang, pemain pemain kelahiran Sunderland, England itu dianggap sebagai pengganti Christian Pulisic.
Reyna yang telah menjaringkan dua gol bersama Dortmund musim ini menjadi sandaran utama skuad Uncle Sam untuk menghadapi England, Iran dan Wales dalam Kumpulan B.

AURELIEN TCHOUAMENI
(Perancis)

 

BERMAIN di posisi tengah bertahan, Aurelien Tchouameni, 22, yang mempunyai darah Cameroon mula mencipta nama ketika beraksi buat Bordeaux pada musim 2018-2019.
Memiliki kreativiti di tengah padang dan daya tahan membantu benteng membolehkan dia menjadi tonggak kelab hingga dipancing gergasi Ligue 1, Monaco pada 2020.
Dia membuat 96 penampilan dan menjaringkan lapan gol untuk kelab itu, sebelum menandatangani kontrak enam tahun dengan nilai 80 juta pound (RM433 juta) bersama juara Eropah 14 kali, Real Madrid.
Tchouameni menjadi pemain kegemaran jurulatih Perancis, Didier Deschamps selepas konsisten bersama Real.

PIERO HINCAPIE
(Ecuador)

SENtUHAN Piero Hincapie amat ditagih Ecuador pada Piala Dunia 2022 kerana pasukan itu akan berdepan beberapa pasukan kuat dalam Kumpulan A.
Selain tuan rumah Qatar, ­Ecuador akan dicabar Belanda dan Senegal, jadi ini adalah masa terbaik buat pertahanan tengah berusia 20 tahun itu membuktikan pengalaman setahun beraksi di Eropah mampu membantu negaranya.
Hincapie bermain baik dalam Liga Jerman bersama Bayer L­everkusen, di mana dia telah menjaringkan satu gol dalam sembilan penampilan Bundesliga musim ini.

The post Bintang muda mahu menyinar di Qatar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *