KUALA LUMPUR: Gol yang diledakkan tonggak sayap Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim meletakkan skuad negara mendahului Thailand 1-0 pada babak pertama permainan dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil dekat sini, sebentar tadi.

Faisal yang menyambut hari jadinya yang ke-24 tahun, hari ini, menerima baik hantaran bek kiri, V. Ruventhiran sebelum dia menyempurnakan kepada jaringan buat Malaysia seawal minit ke-11.

Thailand yang tersentak dengan jaringan tersebut melancarkan serangan bertali arus ke pintu gol tuan rumah, namun, penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan berbahaya itu.

Salah satu peluang terbaik skuad Gajah Perang itu hadir pada minit ke-23 apabila pemain tengah, Bordin Phala menyempurnakan rembatan ke gawang Malaysia, namun, percubaannya itu tersasar keluar.

Bagaimanapun, Harimau Malaya bertindak balas ketika permainan berada pada minit ke-27, apabila hantaran Faisal kepada bek kanan, Quentin Cheng disepak tinggi melepasi pintu gol pasukan pelawat.

Thailand yang dibimbing Alexandre Polking sekali lagi memperoleh peluang terbaik pada minit ke-43, namun, sepakan leret pemain tengah, Ekanit Panya berjaya ditangkap kemas Ahmad Syihan.

Berbanding aksi dengan Singapura, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon hanya melakukan satu pertukaran apabila Muhammad Mukhairi Ajmal berada di bangku simpanan dan pemain naturalisasi, Lee Tuck dibawa masuk ke dalam kesebelasan utama menentang Thailand. – UTUSAN ONLINE

The post ‘Birthday boy’ letak Harimau Malaya mendahului 1-0 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *