LONDON: Mangsa pertama nahas pesawat domestik Nepal yang mengorbankan sekurang-kurangnya 68 penumpang, telah dikenal pasti.

Memetik laporan metro.co.uk, Elena Banduro, 33, sempat berkongsi gambar swafoto terakhirnya menampilkan dirinya tersenyum sebelum insiden pesawat Yeti Airlines terhempas di Pokhara.

Blogger dari Russia itu dengan teruja turut memaklumkan mengenai perjalanannya kepada pengikut di media sosial.  

Elena memuat naik sekeping gambar dirinya berada di dalam sebuah pesawat, dengan kapsyen tertera Go to Nepal.

Elena yang berasal dari Moscow dilaporkan bekerja sebagai pengurus media sosial dan sangat gemar mengembara.

Ucapan takziah membanjiri akaun media sosial blogger itu, dengan seorang kenalan rapatnya menyifatkan Elena sebagai individu yang sangat baik. 

Dilaporkan, seramai 15 warga asing membabitkan lima warga India, empat rakyat Russia, dua warga Korea Selatan dan masing-masing seorang dari Ireland, Australia, Perancis serta Argentina. 

Tiga lagi warga Russia terkorban dalam nahas pesawat itu dikenal pasti sebagai Viktoria Altunina, Yuri Lugin and Viktor Lagin.

Maklumat berkenaan disahkan oleh Duta Russia ke Nepal, Alexei Novikov yang memaklumkan pihak berkuasa kini sedang memberi khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa tragedi. 

Nahas itu berlaku ketika pesawat yang membawa 72 penumpang termasuk empat anak kapal dari Kathmandu cuba mendarat di lapangan terbang yang baru dibuka.

Sebahagian bangkai pesawat itu berada di lereng bukit, manakala sebahagian lagi terhempas ke dalam gaung di Sungai Seti

Setakat ini, punca kejadian itu masih belum diketahui lagi.

Ia disifatkan sebagai nahas udara terburuk dalam tempoh tiga dekad di Nepal. 

The post Blogger Russia kongsi gambar swafoto sebelum nahas pesawat Nepal   appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *