BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) akan menyusun semula Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) supaya lebih menguntungkan ahli atau ‘sahabat’ nya jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selepas BN tumbang pada PRU14, AIM seolah-olah digunakan oleh pihak pengurusan atasan untuk mengaut keuntungan peribadi.

“Kita tidak mahu mana-mana pengerusi atau lembaga pengarah tubuh banyak subsidiari dan anak syarikat, kemudian tubuh pula subsidiari lain daripada anak syarikat itu semata-mata untuk mendapatkan imbuhan elaun sebagai pengerusi anak syarikat itu sehingga ratusan ribu ringgit sebulan.

“Saya sudah berbincang dengan Menteri Kewangan berkaitan (sama ada berlaku) penyelewengan dan pecah amanah (berkaitan AIM),” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra AIM Hutan Melintang bersama calon BN di sini hari ini.

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) bergambar bersama ahli AIM di Dewan Serbaguna Hutan Melintang, Bagan Datuk, hari ini. – UTUSAN

Menurut beliau, BN akan membetulkan kepincangan dalam pengurusan AIM agar lebih memberi manfaat dan keuntungan kepada ahlinya, bukan pengurusan atasan.

Beliau memaklumkan kadar pembayaran balik pinjaman secara kecil-kecilan oleh ahli AIM adalah yang tertinggi di negara ini, justeru sewajarnya para ahli yang patut mendapat lebih manfaat bukan pengurusan atasannya.

“Kita tidak mahu para sahabat bekerja bertungkus-lumus, berpenat lelah tetapi orang atasan yang untung,” jelas beliau.

Menurutnya, jika BN mendapat mandat rakyat selepas PRU15, parti itu akan memastikan lebih banyak peruntukan pembiayaan disalurkan kepada AIM untuk manfaat ahlinya.

Katanya, AIM ditubuhkan ketika BN memerintah berdasarkan konsep Gramen Bank di Bangladesh, justeru pihaknya mahu mengembalikan semula pengurusan agensi itu kepada BN. – UTUSAN

The post BN akan rombak AIM jika menang PRU15 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *