SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) optimis untuk memenangi kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hasil kerja keras dan usaha yang telah diberikan oleh jentera parti itu ketika ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu sememangnya kini memberi tumpuan dan sedang melihat peluang untuk menang di Parlimen Port Dickson.

“Mungkin, sekarang kami melihat di Port Dickson. Saya fikir, jika kami kerja keras dan meletakkan lebih usaha, ia berada dalam genggaman kami,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pembeli projek perumahan PR1MA Residensi Rantau dekat Rantau, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan menjawab soalan pemberita mengenai kemungkinan untuk BN merampas beberapa kerusi Parlimen di Negeri Sembilan PRU15 kali ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, BN hanya memenangi tiga buah kerusi Parlimen di negeri ini daripada lapan buah kerusi Parlimen kesemuanya.

Dalam pada itu, Mohamad yang turut merupakan calon BN di Parlimen Rembau, yakin dua buah kerusi Parlimen iaitu Kuala Pilah dan Tampin yang sebelum ini dimenangi Pakatan Harapan (PH) bakal dimenangi calon BN dalam PRU15 ini.

“Kami mahu mengembalikan dua buah kerusi di Tampin dan Kuala Pilah (dari PH kepada BN). Saya fikir tidak ada masalah, insya-Allah,” katanya.-UTUSAN.

MOHAMAD Hasan ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pembeli projek perumahan PR1MA Residensi Rantau, di Rantau, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

The post BN boleh menang di Port Dickson appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *