BAGAN DATUK: Barisan Nasional (BN) kini perlu bersikap ‘menyerang’ terhadap pembangkang termasuk menggunakan ‘peluru’ yang telah disediakan kerajaan bagi memastikan mereka tidak berkuasa semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata, antara ‘peluru’ utama itu ialah isu buku bekas Peguam Negara, Tommy Thomas; kecuaian dalam tuntutan Pulau Batu Putih serta isu pengampunan penuh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, pemimpin dan penyokong BN harus menggunakan isu tersebut untuk menyerang pembangkang dan jangan membiarkan pembangkang menyerang mereka tanpa berjawab.

“Dalam media sosial, bukan setakat jawab (tetapi) saya sudah beri peluru dengan menyahklasifikasi siasatan buku Tommy Thomas dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA), fitnah (Akta Hasutan) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN dan Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurut Ismail Sabri, pembangkang banyak memainkan isu termasuk menabur fitnah kepada pemimpin BN dan UMNO yang harus segera ditangkis oleh pemimpin, ahli dan penyokong BN.

Jelas beliau, jika semua isu dimainkan pembangkang tidak berjawab, maka ia akan menimbulkan persepsi tidak baik yang pada akhirnya dipercayai benar oleh pengundi.

Naib Presiden UMNO itu turut mengingatkan bahawa BN perlu menang besar dan menjadi parti dominan dalam kerajaan agar segala perancangan untuk membantu rakyat menjadi lebih mudah dan parti lain akur dengan kuasa mereka.

“Dulu orang kata BN kalau letak songkok (sebagai calon) pun boleh menang pilihan raya tetapi sekarang keadaan sudah berubah dan jangan mudah percaya dan rasa selesa jika ada laporan mendakwa BN boleh menang besar pada PRU15.

“Sebelum PRU-14 pun ada laporan mendakwa BN akan menang besar dan kita juga yakin akan menang besar, sebab itu kita (saya) tidak kemas barang dan mengeluarkannya daripada pejabat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Tiba-tiba kalah, jadi tiada jaminan kita boleh menang mudah walaupun menguasai kerajaan sekarang,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menjelaskan pemilihan calon BN dengan 70 peratus muka baharu akan dilakukan dengan penuh kebijaksanaan dan bukannya untuk membalas dendam kepada mana-mana individu, kecuali mereka yang tidak mahu menjadi calon dengan melakukan sesuatu yang di luar norma parti politik.

Beliau juga menyasarkan BN Perak memenangi sekurang-kurangnya 12 daripada 24 kerusi Parlimen di negeri itu sambil meminta pemimpin serta ahli parti itu bekerja keras dan secara bijaksana bagi memastikan kemenangan dalam PRU15 ini. – UTUSAN

The post BN harus guna ‘peluru’ disediakan kerajaan untuk serang pembangkang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *