PONTIAN: Barisan Nasional (BN) Johor berada pada momentum terbaik bagi mencapai sasaran memenangi 16 kerusi Parlimen serta tambahan empat lagi kerusi seperti yang diharapkan BN Pusat.

Pengarah Pilihan Raya BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, jentera pilihan raya di 26 kawasam Parlimen terus bersemangat manakala calon-calon terus meningkatkan kempen mereka pada setiap masa.

Katanya, dalam usaha mendapat sokongan daripada pengundi, pelbagai program telah dijalankan yang melibatkan golongan muda, wanita, masyarakat di bandar, luar bandar dan sebagainya.

“Saya tidak melihat ada isu-isu besar, yang lebih penting adalah pada 19 November dan diharapkan pengundi dapat keluar beramai-ramai khususnya pengundi putih BN,” katanya selepas menghadiri program Minum Petang Bersama Masyarakat Cina di Benut, di sini hari ini.

Yang turut hadir, calon BN Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.

Hasni yang juga calon BN Parlimen Simpang Renggam meminta supaya semua pihak tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses berkempen yang berjalan sekarang.

“Diharap tiada berlaku kempen provokasi dan melakukan perbuatan khianat di Johor kerana pengalaman pada PRN Johor, calonnya lebih ramai, lebih aggersif, namun keadaan adalah terkawal,” katanya.

Ditanya mengenai peluang BN untuk menawan empat kerusi Parlimen yang menjadi kubu lawan seperti Iskandar Puteri, Kulai, Pagoh dan Muar, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, menjelaskan peluang tetap terbuka.

Katanya, BN mendapati terdapat peningkatan sokongan kepada BN khususnya di Muar dan Pagoh, manakala kerusi di Iskandar Puteri dan Kulai, MCA berjanji akan bekerja keras bagi membantu kemenangan calon di sana.

“Kerjasama dalam kalangan parti komponen BN boleh ditambah baik di Kulai, sementara di Iskandar Puteri tiada banyak masalah. Di Pagoh, walaupun calon datang dari Muar, tetapi sokongan daripada semua amatlah baik,” jelasnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian.

Begitu juga di Parlimen Muar, calonnya seorang anak muda, Mohd. Helmy Abd. Latif merupakan calon yang terbaik bagi menewaskan penyandangnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussein. –UTUSAN

The post BN Johor mampu capai sasaran 16 kerusi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *