KLUANG: Barisan Nasional (BN) sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan keadaan cuaca pada hari mengundi esok.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, selain menyediakan payung sekiranya hujan, turut mengambil kira tentang kenderaan yang sesuai di setiap kawasan tempat pengundian.

“Turut dalam perhatian juga adalah kemudahan-kemudahan lain selain keadaaan lalu lintas di pusat pengundian esok,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti Kampung Baru Simpang Renggam, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hasni yang juga calon BN di Parlimen Simpang Renggam bersyukur kerana semasa kempen selama 14 hari tiada berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Katanya, BN menggunakan sepenuhnya ruang untuk berjumpa dengan para pengundi bukan sahaja dalam menerangkan manifesto, malah turut menyampaikan pencapaian kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.

“Perkara ini merupakan dua kekuatan yang diperkukuhkan pada saat-saat akhir berkempen dan jelas mendapat sambutan baik daripada pengundi di Simpang Renggam ini,” katanya. – UTUSAN

 

The post BN Johor siap sedia keadaaan cuaca hari mengundi esok appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *