KOTA TINGGI: Kepemimpinan Barisan Nasional (BN) Kota Tinggi dan cawangannya berjiwa besar menyambut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai calon di kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Kota Tinggi, Muszaidi Makmor berkata, barisan jentera juga menyatakan janji akan terus mempertahankan Parlimen Kota Tinggi sebagai kubu BN dan akan memenangkan Mohamed Khaled sebagai calon terbaik di kawasan itu.

“Dalam pemahaman saya, kepemimpinan akar umbi tidak menolak calon yang diputuskan pucuk pimpinan parti demi menjaga kepentingan parti. Kami dari dulu sedari parti bukan hak peribadi. 

“Pehimpunan kami hari ini mahu menyatakan bahawa kami rakan-rakan komponen berjiwa besar menyambut Datuk Seri Mohamed Khaled sebagai calon PRU15. 

“Kami di barisan kepimpinan UMNO, MCA dan MIC ingin mengucapkan penghargaan kepada Datuk Halimah Mohamed Sadique yang telah menjalankan tugas dengan baik. Apa pun keputusan parti perlu hormati. Kami berjanji kepimpinan yang ada akan pastikan calon kita menang cemerlang di Kota Tinggi,” katanya dalam sidang akhbar berkenaan tentang perkara berkenaan, hari ini.

Muszaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili yakin dapat memenangkan Mohamed Khaled dengan majoriti yang lebih besar kerana beliau bukan calang-calang pemimpin.

Katanya, kekalahan  di kerusi Parlimen Pasir Gudang pada PRU14 adalah kerana berlakunya tsunami politik dan siapa pun calon yang diletakkan di sana pada ketika itu pasti akan kalah.

“Tetapi di Kota Tinggi yang memenangkan calon adalah jentera-jentera kita kalau calon bergerak sendiri pun belum tentu menang, dengan adanya kekuatan UMNO, BN, MCA, MIC kita menang bergaya di Kota Tinggi.

“Orang Kota Tinggi tahu pemimpin mana perlu dipilih, saya yakin tidak perlu risau sebelum ini mereka (UMNO cawangan) setia dengan parti tidak ada kata hendak tutup pusat daerah mengundi (PDM).

“Saya yakin dengan ketua PDM dan ketua cawangan mereka matang berpolitik, kalau mereka tidak setia masa PRU14 sudah keluar parti namun 95 peratus kekal di cawangan,” katanya. – UTUSAN

The post BN Kota Tinggi sambut Khaled, mahu menang lebih besar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *