MELAKA: Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) bersama Singapura akan diteruskan semula jika rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, projek yang dapat memberi banyak manfaat khususnya kepada rakyat Melaka itu telah ditangguh dan dibatalkan sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah negara selama 22 bulan.

Beliau yang juga Presiden MCA berkata, bagi merealisasikan hasrat HSR diteruskan semula, ia bergantung kepada pengundi membuat pilihan tepat untuk memberi mandat kepada BN menang dalam PRU15.

“Jika BN menang kerajaan akan pastikan rundingan baharu dengan Singapura diadakan semula bagi projek HSR ini dilaksanakan semula. Sewaktu zaman PH memerintah, mereka tangguhkan projek ini dan timbul banyak isu sehingga persetujuan dibuat untuk membatalkan projek ini.

“BN berjanji tidak seperti PH sebelum menang PRU14, mereka ini menjanjikan bulan dan bintang yang akhirnya mereka sendiri tidak dapat laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pengundi di Pasar Malam Kampung Lereh, Tangga Batu di sini malam tadi.

Hadir sama calon BN kerusi Parlimen Tangga Batu, Datuk Lim Ban Hong; calon BN Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan serta calon BN Parlimen Kota Melaka, Kon Qi Yao.

Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian dua hala untuk melaksanakan HSR pada 13 Disember 2016. Projek sepanjang 350 kilometer (KM) yang dijadualkan siap pada 2026 itu dijangka dapat memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua negara hanya dengan 90 minit.

Bagaimanapun, pembinaan projek itu ditangguhkan September 2018 dan pada 31 Mei 2020, kedua-dua kerajaan bersetuju menangguhkan pembangunan projek dua hala bernilai RM110 bilion itu sehingga 31 Disember 2020.

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan secara bersama penamatan HSR selepas kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia, sebelum perjanjian projek berkenaan luput 31 Disember 2020. – UTUSAN

The post BN menang, HSR dihidupkan semula – Ka Siong appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *