PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil menyarankan supaya Barisan Nasional (BN) menjadi blok pembangkang pada Parlimen Penggal Ke-15. 

Beliau yang juga calon BN Parlimen Shah Alam berkata, saranan itu bagi membolehkan BN menyemak imbang kerajaan dan tidak menyertai mana-mana gabungan kerajaan campuran. 

“Rakyat telah memilih kita sebagai pembangkang, kita perlu hormati kemahuan rakyat tersebut. Semasa 22 bulan kita menjadi pembangkang selepas PRU14 dahulu, rakyat telah kembali menyokong kita. 

“Namun sokongan dan kepercayaan tersebut telah terhakis apabila kita membentuk kerajaan campuran selepas Langkah Sheraton,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Isham berkata, UMNO dan BN boleh membina semula kredibiliti dan kepercayaan rakyat terhadap mereka berbanding menjadi kerajaan ketika ini. 

“Kita perlu berani menjadi pembangkang yang kuat,” ujarnya. 

Terdahulu, media melaporkan, UMNO dan BN yang memperoleh 30 kerusi pada pilihan raya umum kali ini dijangka menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan apabila mengadakan tiga mesyuarat penting hari ini. 

Ia susulan Pakatan Harapan (PH) yang menang 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) yang menguasai 73 kerusi Parlimen masih gagal memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. –UTUSAN

 

The post BN patut jadi blok pembangkang – Isham appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *