KANGAR: Barisan Nasional (BN) Perlis mengumumkan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan menampilkan lima calon muka baharu.

Pengumuman oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Azlan Man dalam satu sidang akhbar tertutup di Kompleks DUN di sini, malam tadi itu menyaksikan sembilan penyandang kerusi DUN dikekalkan termasuk di kawasan Tambun Tulang apabila adik Datuk Seri Shahidan Kassim iaitu Datuk Ismail Kassim diberi sekali lagi peluang mempertahan kubu kuat beliau itu bagi penggal ketiga berturut-turut.

Penyandang kerusi DUN Pauh, Rozieana Ahmad pula bertukar ke kerusi kubu kuat Pas iaitu DUN Guar Sanji sekali gus memberi cabaran cukup besar kepadanya.

Lima calon muka baharu yang diketengahkan ialah Syed Atif Syed Abu Bakar di kerusi DUN Pauh, Saiful Daniel Mohd Yusof (Sena), Lim Weng Khee (Indera Kayangan), Kamaruddin Malik (Kuala Perlis) dan Sharipudin Ahmad yang bakal mengempur DUN Sanglang.

Azlan mempertahan DUN Bintong sekali gus memberi bayangan beliau kekal sebagai Menteri Besar jika BN menang PRU-15 di negeri ini.

Sementara itu, semua penyandang di lima kerusi DUN di Padang Besar kekal iaitu Teh Chai Ann (Titi Tinggi); Ruzaini Rais (Beseri); Asmaiza Ahmad (Chuping); Siti Berenee Yahya (Mata Ayer) dan Azizan Sulaiman (Santan).

Dalam pada itu, penyandang kerusi DUN Simpang Empat sejak dua penggal lalu, Nurulhisham Yaakob dikekalkan selain Hamizan Hassan mempertahan DUN Kayang.

Di peringkat Parlimen yang diumumkan lebih awal kelmarin, BN menampilkan semua tiga calon muka baharu iaitu Parlimen Kangar (Datuk Fathul Bari Mat Jahya), Parlimen Arau (Datuk Rozabil Abd. Rahman) dan Padang Besar (Datuk Zahida Zarik Khan).

Azlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, calon-calon yang dipilih itu melepasi syarat ditetapkan dan mempunyai ciri-ciri ‘wali’ iaitu merujuk kepada boleh menang, diterima dan disukai yang berkaliber serta berdaya.

Katanya, pemilihan calon tersebut berlangsung dalam suasana aman dan tidak mempunyai masalah.

“Insya-Allah semua calon yang diketengahkan mendapat sokongan rakyat dan dengan izin Allah SWT kita menang.

“Pemilihan calon berlangsung aman, tidak ada peristiwa baling kerusi, menyepak meja dan sebagainya. Proses selesai dengan cara cukup harmoni.

“Mungkin hanya segelintir pihak sahaja tidak berpuas hati dan itu merupakan proses biasa. Kita melalui proses perubahan dan peremajaan parti dengan lapan calon muka baharu diketengahkan iaitu di lima DUN dan tiga Parlimen,” katanya.

Tambah Azlan, pihaknya menyasarkan menang semua 15 kerusi DUN dan tiga Parlimen sekali gus menuntut seluruh calon serta jentera agar terus bekerja kuat tanpa henti. 

Berikut adalah senarai penuh calon BN Parlimen dan DUN Perlis:

P001 PADANG BESAR

– Datuk Zahida Zarik Khan

N01 TITI TINGGI

– Teh Chai Aan

N02 BESERI

– Ruzaini Rais

N03 CHUPING

– Asmaiza Ahmad

N04 MATA AYER

– Siti Berenee Yahya

N05 SANTAN

– Azizan Sulaiman

P002 KANGAR

– Datuk Fathul Bari Mat Jahya

N06 BINTONG

– Datuk Seri Azlan Man

N07 SENA

– Saiful Daniel Mohd Yusof

N08 INDERA KAYANGAN

– Lim Weng Kee

N09 KUALA PERLIS

– Kamaruddin Malik

N10 KAYANG

– Hamizan Hassan

P003 ARAU

– Datuk Rozabil Abd Rahman

N11 PAUH 

– Syed Atief Syed Abu Bakar

N12 TAMBUN TULANG

– Datuk Ismail Kassim

N13 GUAR SANJI

– Rozieana Ahmad

N14 SIMPANG EMPAT

– Nurulhisham Yaakob

N15 SANGLANG

– Sharipudin Ahmad

 

UTUSAN

The post BN Perlis tampil lima muka baharu, 10 penyandang kekal appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *