SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) perlu menang sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus membentuk kerajaan.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun sasaran sebenar parti gabungan itu bukanlah hanya dari segi jumlah kerusi tersebut namun lebih daripada itu.

“Kami tidak ada letak sasaran-sasaran kerusi. Sasaran kami mahu menang, jadi BN mesti melepasi 112 kerusi (Parlimen) untuk memastikan supaya kami dapat menubuhkan kerajaan pada PRU15.

“Itu sasaran kami, kalau boleh menang banyak lagi baik,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad yang yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau menasihatkan pemimpin parti terutama di kawasan kerusi Parlimen kalah tipis dalam pilihan raya umum lalu supaya menumpukan lebih perhatian di kawasan tersebut.

Menurutnya, kawasan yang kalah tipis itu disebabkan beberapa isu tempatan yang perlu diselesaikan segera supaya tidak lagi mengulangi kesilapan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Kawasan-kawasan dulu yang kita kalah tipis banyak. Kawasan-kawasan yang kita kalah tipis perlu diberikan tumpuan yang lebih daripada kepemimpinan di kawasan tersebut, ” katanya

Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi dalam komponen BN, Mohamad berkata, perkara itu belum diputuskan lagi.

“Walaupun kami sudah duduk (ketua parti komponen) dua, tiga kali tapi belum ada lagi kata putus. Kami akan berjumpa kepemimpinan parti MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) untuk pastikan pembahagian kerusi dapat dibuat dengan sebaik mungkin,” katanya. – UTUSAN

The post BN sasar sekurang-kurangnya 112 kerusi – Tok Mat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *