KLANG: Barisan Nasional (BN) Klang bersedia menyediakan pengangkutan kepada pengundi Parlimen itu sekiranya berlakunya banjir pada 19 November nanti.

Calon BN Klang, Tee Hooi Ling berkata, pihaknya bersedia berbuat demikian sekiranya mereka terperangkap dalam banjir untuk pergi ke pusat pengundian.

“Ketika bah di Taman Sri Muda pada Disember tahun lalu, MCA Pusat menyediakan beberapa buah pacuan empat roda serta bot untuk membantu mangsa di situ.

“Jadi, saya serta pasukan bersedia untuk berbuat demikian sekiranya bencana itu berlaku sekali lagi semasa hari pengundian,” katanya ketika melakukan kempen pengundiannya di Taman Eng Ann, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai kempen pengundiannya ketika ini, Hooi Ling memaklumkan bahawa beliau menyantuni 80 peratus penduduk kawasan Parlimen.

Namun, menurutnya, masih lagi ramai pengundi terutama sekali pengundi yang berumur 18 tahun yang perlu beliau santuni bagi menyakinkan mereka mengundinya sebagai ahli Parlimen Klang.

“Anak muda lebih menyukai kita menyantuni mereka melalui media sosial berbanding secara bersemuka.

“Namun, lebih melakukan kempen secara bersemuka kerana saya boleh mendengar apa yang mereka mahu saya buat di sini.

“Jadi, saya akan berusaha lebih kuat untuk memikat mereka mengundi saya kelak,” katanya yang juga Ketua Wanita MCA Selangor.-UTUSAN

The post BN sedia pengangkutan jika banjir di Klang appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *