SUNGAI SIPUT: Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat  dakwaan membabitkan salah laku calonnya termasuk perbelanjaan melebihi had pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan sewajarnya boleh dikenakan oleh SPR sekiranya terbukti wujud salah laku membabitkan calon mana-mana parti.

Malah, menurut beliau,  BN sama sekali tidak akan menyembunyikan  salah laku yang dilakukan calon yang bertanding mewakili parti itu.

“Saya serah bulat-bulat kepada SPR. Jika ada salah laku, mereka ambillah tindakan. Saya tidak pernah sembunyi apa-apa kepada pengundi,” katanya selepas Program Ramah Mesra Bersama Pemimpin BN di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden MIC yang juga calon Parlimen Sungai Siput, Tan Sri SA Vigneswaran; calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang, Datuk Mohd. Zolkafly Harun dan calon DUN Jalong, Pan Chean Chang.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, siasatan y SPR itu bagaimanapun perlu dijalankan secara telus dan tidak didedahkan.

“Kita ada agensi yang memantau kalau ada kesilapan tidak kira daripada parti mana. Harap SPR ambil tindakan yang sewajarnya. 

“Biar proses dan tindakan itu tidak digembar-gemburkan, tidak digunakan sebagai bahan politik murahan menjelang hari pengundian pada 19 November ini,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan dakwaan seorang calon PRU15 berkaitan wujudnya pelanggaran di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 1957 di mana terdapat calon telah berbelanja melebihi had perbelanjaan RM200,000 sepanjang kempen berlangsung. – UTUSAN

The post BN serah SPR siasat kempen lebih had perbelanjaan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *