PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) perlu berunding dengan semua parti politik terlebih dahulu sebelum mengadakan pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia pagi ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini BN hanya menerima terma-terma berkenaan pembentukan kerajaan baharu daripada Pakatan Harapan (PH).

“Kita baru terima terma-terma berkenaan daripada PH, kita belum terima daripada Perikatan Nasional (PN). Sudah tentu kita (BN) belum dapat maklumat yang jelas mengenai perkara ini untuk dipersembahkan (kepada Agong) setelah Seri Paduka mengusulkan tentang Kerajaan Perpaduan,” kata beliau.

BN sudah mengemukakan permohonan bagi menangguhkan sesi menghadap 30 ahli Parlimennya ke atas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara yang dijadualkan 10.30 pagi ini.

Perkembangan itu dimaklumkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang ditemui pemberita selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn malam tadi.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, permohonan itu sudah dikemukakan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
UTUSAN

The post BN teliti terma-terma semua parti sebelum menghadap Agong – Khaled appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *