KUALA LUMPUR: Selama 61 tahun memerintah negara, Barisan Nasional (BN) tidak pernah menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah penduduk Kampung Baru.

Calon Barisan Nasional Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jika kerajaan ambil sekali pun ia hanya untuk pembinaan stesen LRT dan MRT.

Katanya, isu membelenggu kawasan itu dan berlanjutan hingga kini berlaku selepas BN tewas pada 2018 dan wakil rakyat sebelum ini, Datuk Seri Rina Harun tidak bertindak sewajarnya dalam mempertahankan hak penghuni di sana.

Selain itu kata Johari, seorang lagi calon Parlimen Titiwang dari Pakatan Harapan (PH), Khalid Abdul Samad ketika menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan pula gagal memastikan persetujuan semua penghuni dicapai terlebih dulu, sebelum kawasan itu dibenar diserah kepada pemaju untuk dibangunkan.

“Masa itu Rina jadi wakil rakyat dan Khalid, Menteri Wilayah Persekutuan. Sepatutnya dia jangan suruh pemaju pindahkan orang dulu. Pastikan dulu semua sudah bersetuju. Tapi waktu itu dia biarkan 89 penduduk tandatangan perjanjian dan akhirnya mereka pindah. Lepas itu flat berkenaan jadi flat tinggal.

“Akta ini bukan zaman saya, bukan BN, tetapi kerajaan ketika BN kalah. BN tak pernah ambil tanah Kampung Baru gunakan Akta Pengambilan Tanah. Sebab itu kita memerintah 61 tahun, tak pernah ambil tanah untuk lot-lot ini. Cuma ambil pun untuk buat stesen LRT dan MRT,” katanya ditemui ketika berkempen hari ini.

Menurut Johari, sebanyak 11 peratus penduduk tidak mahu tandatangan untuk perpinda yang mana pihak pemaju yang sudah dapat persetujuan lebih 80 peratus penduduk yang lain.

Untuk itu katanya, mereka mahu gunakan Akta Pengambilan Tanah.

Katanya, beliau sendiri pada 2017 membantah cadangan pemaju untuk membangunkan semula kawasan itu jika tiada persetujuan semua penghuninya.

“Saya tidak bersetuju bangunkan kawasan ini. Sebabnya, pertama model yang mahu dibuat dia (pemaju) kata hanya dapat 80 peratus setuju, saya tak setuju. Saya kata, kalau mahu pindahkan penghuni, kena dapat persetujuan semua. Kedua, pada ketika itu syarikat pemaju tidak mempunyai kewangan yang kukuh, ini bahaya.

“Saya setuju pembangunan, tapi saya mahu pastikan mana-mana pemaju yang mahu bangunkan ini mestilah mempunyai kekuatan kewangan, pengalaman untuk siapkan projek ini. Saya tidak mahu projek ini jadi projek gajah putih, macam projek Pekeliling 14 tahun tak dibuat,” katanya.

Oleh itu katanya, dakwaan Abdul Khalid bahawa BN tidak melakukan apa-apa usaha untuk membantu dan menyelesaikan masalah penghuni tidak benar.

Kenyataan Abdul Khalid itu kata beliau, hanya untuk mengelirukan semua pihak terutama pengundi Titiwangsa.

“Sekarang datang balik, cerita dengan orang ramai saya tidak bersuara. Saya bukan bersuara tak tentu pasal. Tapi kita bersuara dengan fakta. Dia cuba pusing isu Kampung Baru dengan pembangunan flat Sungai Baru. Pembangunan flat Sungai Baru itu tiada kena mengena dengan tanah Kampung Baru.

“Dia ‘spin’ cerita seolah-olah tanah Kampung Baru ini diambil alih oleh BN. Ini cerita penipu. Kita jadi pemimpin, kita jangan menipu orang,” katanya.

Pada Ogos lalu, 37 pemilik kediaman di Kampung Sungai Baru yang sebelum ini cuba mempertahankan tanah mereka daripada diambil pemaju bagi projek pembangunan semula kawasan itu terpaksa akur dengan desakan undang-undang di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) pula menjelaskan, pengambilan tanah Kampung Sungai Baru itu sewajarnya diteruskan kerana memenuhi syarat perundangan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 dan 89 peratus atau 291 penduduk terbabit sudah bersetuju dengan pembangunan semula kawasan terbabit.

Sebelum itu, proses pengambilan tanah di kawasan itu yang sepatutnya dibuat pada Disember 2021, ditangguhkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri  Shahidan Kassim bagi memberi ruang perbincangan antara pemaju dengan penduduk yang tidak bersetuju.

The post BN tidak pernah menggunakan akta untuk ambil tanah Kampung Baru – Johari appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *