KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menaruh keyakinan tinggi kerajaan di bawah pimpinan parti itu mampu menarik semula pelabur asing ke negara ini sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan berusaha sedaya upaya mendapatkan semula kepercayaan para pelabur asing yang hilang disebabkan polemik ketidakstabilan politik yang berlaku sebelum ini.

Katanya, BN terus menggamit semula pelabur-pelabur asing untuk datang ke Malaysia, melabur dan memberi peluang pekerjaan yang sesuai kepada golongan muda.  

“Pelabur asing memerlukan kestabilan politik. Misalnya, apabila BN memenangi lebih dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, negeri itu di bawah pemerintahan dua Menteri Besar sebelum BN, berada di kedudukan keenam dari segi pelaburan asing. 

“Hanya sembilan bulan selepas BN menjadi kerajaan, Johor dari kedudukan keenam terus naik ke tempat pertama dalam pelaburan asing.

“Ini menunjukkan kepercayaan semula pelabur asing terhadap Johor,” katanya ketika berucap pada majlis santai bersama Pengerusi BN di Kompleks Yayasan Wangsa Perdana Wangsa Maju, malam ini.

Yang hadir sama, calon BN Parlimen Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd Shafei Abdullah. 

Terdahulu, Ahmad Zahid memberi amanat kepada jentera BN Wangsa Maju untuk terus menggandakan usaha supaya kemenangan memihak kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, pada pilihan raya umum lalu, ketika tsunami politik melanda seluruh negara, penduduk Wangsa Maju juga tidak ketinggalan turut menjadi `mangsa’.

“Senario politik sudah berubah, rakyat kini rindu dan mahukan BN memerintah semula negara ini,” katanya.  

Sementara itu, Mohd. Shafei berkata, beliau akan mengumumkan manifesto khas bagi Parlimen Wangsa Maju minggu depan.  

Pada PRU15, kerusi Parlimen Wangsa Maju menyaksikan pertembungan enam penjuru yang ditandingi oleh Mohd Shafei, calon Pakatan Harapan (PH), Zahir Hassan; calon Perikatan Nasional (PN), Nuridah Mohd. Salleh; calon Gerakan Tanah Air (GTA), Norzaila Arifin; calon Warisan, Wee Choo Keong dan calon Bebas, Ravee Suntheralingam.

Pada PRU14, penyandang, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew dari PH memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju dengan meraih 42,178 undi, menewaskan calon BN, Datuk Seri Yew Teong Look yang memperoleh 17,940 undi dan Razali Tumirin dari Pas (13,490 undi). – UTUSAN  

 

The post BN yakin mampu tarik pelabur asing ke Malaysia jika tadbir negara   appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *