PETALING JAYA: Tuan rumah Temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2024, Indonesia membentangkan sebanyak 18 acara sukan yang bakal dipertandingkan tanpa menyenaraikan ‘ibu kepada segala pingat’ iaitu bola sepak.

Temasya ini buat pertama kali dalam sejarah AUG akan berlangsung di dua bandar utama di Indonesia iaitu Surabaya dan Malang.

Tragedi malang yang mengorbankan 132 nyawa di Stadium Kanjuruhan, Malang di Jawa Timur pada aksi Liga 1 Indonesia ketika Arema FC menentang Persebaya pada Oktober lalu masih menjadi igauan buruk kepada Indonesia.

“Kita masih ada waktu sebelum memutuskan untuk mengadakan acara bola sepak atau tidak di AUG 2024.

“Tunggu dan lihat situasi ini sambil berharap kita mendapat jaminan kuat dari pemerintah tentang soal keselamatan untuk semua,” kata Ketua Bidang Prestasi Tinggi, Badan Pengelola Olahraga Mahasiswa Indonesia (BAPOMI), Del Asri.

Thailand dan Malaysia antara negara yang mendesak Indonesia agar tetap menyenaraikan acara bola sepak pada temasya itu nanti.

Pada Mesyuarat Majlis Sukan Universiti Asean (AUSC) di Surabaya semalam, 18 acara sukan iaitu olahraga, renang, futsal, badminton, sepak takraw, bola keranjang (5×5, 3×3), bola tampar (dalam dewan, pantai), bola baling, judo, pencak silat, wushu, taekwondo, karate, sport climbing, memanah, petanque, tenis dan mind sports (chess, bridge) akan dipertandingkan.

Sementara itu, Malaysia kekal menerajui Sekretariat AUSC bagi tempoh 2023-2025 setelah memenangi undian mengatasi Indonesia pada Mesyuarat Agong Tahunan AUSC yang turut berlangsung semalam.

“Kita terus diberi kepercayaan ini sejak 2010 oleh kebanyakan negara anggota tetapi pada waktu yang sama kita juga perlu melepaskan tanggungjawap ini kepada negara lain atas semangat setiakawan negara Asean.

“Jika ada negara yang sudah menyatakan hasratnya mengapa tidak kita lepaskan kepada mereka selepas ini,” kata Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen, Sukan, Bahagian Petancangan Strategik, Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Pekan Ramli.

Mesyuarat AUSC kali ke-35 dan Mesyuarat Agong Tahunan AUSC kali ke-5 di Surabaya bermula kelmarin di Surabaya, Indonesia dirasmikan oleh Pekan yang mewakili Kementerian Pengajian Tinggi.-UTUSAN ONLINE

The post Bola sepak tiada dalam senarai awal sukan AUG 2024 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *