PARIT: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan dua beranak yang terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar di sini awal pagi tadi.

Ketika kejadian, wanita berusia 50 tahun itu tinggal bersama anak perempuannya berusia 18 tahun di rumah berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Muhammad Asyraf Mat Isa berkata, sepasukan 12 anggota dihantar ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.04 pagi.

Katanya, setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan bahagian ruang tamu rumah teres kelas A.

“Kejadian kebakaran tersebut disedari dua beranak itu namun mereka gagal keluar ekoran api marak di bahagian ruang tamu.

“Anggota yang tiba segera bertindak memotong jeriji besi bilik tidur utama menggunakan peralatan khas bagi membolehkan kedua-dua mangsa dibawa keluar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Muhammad Asyraf, operasi memotong jeriji besi itu mengambil masa kira-kira lima minit dan kedua-dua mangsa dibawa keluar dengan selamat.

Katanya, mangsa yang terhidu asap bagaimanapun diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Operasi memadam kebakaran diteruskan dengan bantuan tujuh anggota dari BBP Parit. Dianggarkan 30 peratus rumah musnah dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 4.15 pagi.

“Siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian mangsa,” katanya. – UTUSAN

The post Bomba selamatkan dua beranak terperangkap dalam kebakaran rumah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *