BUTTERWORTH: Nasib golongan nelayan di sini bertambah baik selepas hasil tangkapan mereka kini meningkat berkali-kali ganda selepas menerima bot, enjin serta peralatan baharu di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) sejak beberapa bulan lalu.

Nelayan dari Permatang Tepi Laut, Mat Isa Mat Noor, 64, berkata, sejak menggunakan bot yang lebih besar itu, dia mampu memperoleh pendapatan mencecah RM1,600 iaitu jauh lebih tinggi berbanding hasil tangkapannya sebelum ini antara RM400 hingga RM800.

“Sekarang, saya juga tak bimbang kalau alun ombak dan angin kuat kerana bot baharu ini lebih besar dan selamat.

“Enjin bot juga bagus dan saya dapat pulang dengan lebih cepat jika cuaca berubah,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Mat Isa merupakan antara 20 kumpulan nelayan pertama dari kawasan Pulau Pinang Selatan yang menerima bantuan itu sejak Ogos lalu daripada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Ketika ini, semua nelayan berkenaan telah menerima bot masing-masing dengan penyerahan empat bot terakhir dilakukan dalam majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC), Dato’ Seri Farizan Darus di sini kelmarin.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan berkata,
program bantuan bot itu sepatutnya hanya dilaksanakan selepas projek Penang South Islands (PSI) mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP).

Bagaimanapun kata beliau, keputusan kerajaan negeri untuk menyerahkan pemberian bantuan itu lebih awal kepada kumpulan 20 nelayan pertama berkenaan dilihat merupakan langkah tepat.

Katanya, nelayan yang telah menerima bot dan enjin baharu secara berfasa sejak bulan Ogos lalu itu rata-ratanya sangat berpuas hati dan gembira kerana dapat meneruskan mata pencarian rezeki mereka dengan lebih baik dan selamat.

“Bot baharu yang berukuran 27 kaki (8.2 meter) panjang dan 7.4 kaki (2.2 meter) lebar serta enjin yang lebih berkuasa membolehkan nelayan membawa hasil tangkapan yang lebih besar dan bergerak dengan lebih pantas,” katanya.

Jelas beliau, seramai 315 tekong atau pemilik bot berdaftar dengan Jabatan Perikanan (DOF) dari Permatang Tepi Laut; Teluk Kumbar; Sungai Batu dan Gertak Sanggul iaitu kawasan Tahap 1 projek PSI layak menerima bantuan bot dan enjin di bawah skim SIMP setelah EIA dan EMP diluluskan.

Ujarnya, pemberian bot dan enjin untuk 295 tekong yang selebihnya akan dilaksanakan selepas projek PSI mendapat kelulusan penuh daripada agensi berkaitan.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Muhammad Long, 65, dari Teluk Kumbar bersyukur kerana dapat turun ke laut semula lebih awal selepas bot lamanya sebelum ini tenggelam.

“Bot dan enjin (berkapasiti) 90hp (kuasa kuda) baru ini cukup memuaskan. Saya boleh pergi merata (dengan laju). Kalau dulu, saya pakai enjin 60hp, nak pergi mana pun perlahan. Sekarang pergi laju, balik pun laju.

“Kerja cukup selesa sekarang. Kena ribut dan angin (kuat) juga selesa (masih berasa selamat),” katanya yang menerima bantuan itu sejak September lalu. – UTUSAN

The post Bot baharu bantu nelayan raih hasil tangkapan berganda appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *