KUALA SELANGOR: Cubaan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyusup masuk ke negara ini gagal apabila bot dinaiki mereka rosak dan dicekup pihak berkuasa kira-kira 5.3 batu nautika barat daya Kuala Selangor di sini, semalam.

Empat lelaki termasuk tekong dan seorang wanita berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika bersauh di perairan berkenaan, pukul 4.50 petang.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata, siasatan mendapati bot kayu itu dalam perjalanan dari Tanjung Balai, Indonesia menuju ke Pulau Angsa, di sini bagaimanapun terpaksa bersauh akibat mengalami kerosakan sebelum dihidu pihaknya.

“Hasil pemeriksaan mendapati lima warga asing itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah.

“Seorang daripada mereka mendakwa bayaran RM2,500 seorang dikenakan untuk menyusup masuk ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Siva Kumar, bot dan semua PATI itu dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah bagi tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63. Ia melibatkan kesalahan gagal menunjukkan pasport atau dokumen perjalanan serta permit masuk yang sah kepada penguatkuasa,” jelasnya. – UTUSAN

The post Bot kayu rosak, tiga PATI gagal susup masuk appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *