LANGKAWI: Sebuah bot pukat tunda bersama lima kru termasuk seorang tekong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis kerana menunda ikan di zon larangan di sini, semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Romli Mustafa berkata, bot nelayan tempatan kelas C itu ditahan di kedudukan kira-kira 11 batu nautika barat daya Tanjung Belua, di sini, kira-kira pukul 10.30 pagi.

“Bot pukat tunda itu dikendalikan kesemua krunya yang merupakan warga Thailand berumur antara 24 hingga 53 tahun di zon larangan perikanan dan ketika ditahan mereka sedang leka melakukan aktiviti menunda secara tarik tepi. 

“Kru, tekong dan bot tersebut bersama-sama pelbagai jenis ikan seberat tiga tan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Romli, kegiatan menunda ikan seperti itu sukar dikesan kerana tidak meninggalkan jejak dan sering dilakukan semasa bot tersebut sedang bergerak bagi melepasi zon tersebut.

Tambahnya, aktiviti menunda ikan di kawasan kurang lima batu nautika daripada pantai akan menjejaskan ekosistem serta hasil tangkapan nelayan tradisional yang bergantung di kawasan tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah lima batu nautika dari pantai. –UTUSAN

The post Bot tunda ikan ditahan Maritim Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *